ZIKRY memenangi pingat emas dalam acara 4x400 meter lelaki berpagar akhir pada Kejohanan Olahraga Sekolah-Sekolah Asean di MSN Bukit Jalil. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
ZIKRY memenangi pingat emas dalam acara 4x400 meter lelaki berpagar akhir pada Kejohanan Olahraga Sekolah-Sekolah Asean di MSN Bukit Jalil. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Jumiati Rosly

PENAMPILAN sulung pada Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) ke-10 memberi tuah kepada pelari negara, Rusleem Zikry Putra Rosli yang menghadiahkan pingat emas pertama kontinjen negara pada temasya itu hari ini.

Atlet Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor itu merangkul pingat emas dalam acara 400 meter lari berhalangan dengan catatan 52.68 saat diikuti pelari Indonesia, Raza Caktiaji Wle yang mengekor rapat dengan 52.69s sementara Kasemsan Kaewkul dari Thailand menghadiahkan gangsa (53.21s).

“Pada mulanya saya ada rasa takut sikit dengan pelari Thailand (Kasemsan) yang saya jangka akan berikan tentangan tetapi terkejut juga tiba-tiba pelari Indonesia (Raza) begitu hampir dengan saya di final tadi,” katanya ketika ditemui di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini hari ini.

Zikry, 18, berkata dia gembira catatan masa yang dilakukannya 52.68s itu adalah catatan masa terbaiknya pada tahun ini.

Pelari yang berasal dari Kuala Terengganu itu berkata dia akan menyertai dua lagi acara iaitu 4x100m dan juga 4x400m pada temasya kali ini sebelum menjalani persiapan untuk ke Sukan Malaysia (SUKMA) pada September ini di Perak.

Terdahulu, Muhamad Nazri Mustafa yang mewakili negara dalam acara lompat jauh terlepas pingat emas apabila cubaan kelimanya dibatalkan dan terpaksa berpuas hati dengan pingat perak apabila mencatatkan lompatan 7.52 meter. Pingat emas dimenangi atlet Indonesia, Ahmad Ambali Sukur yang mencatatkan 7.65m.

“Saya tak gemuruh tetapi sedikit kecewa dengan lompatan kelima tadi kerana jika tidak, saya rasa catatan saya dapat memenangi emas,” kata pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu.

Dia bagaimanapun tekad untuk menghadiahkan pingat emas dalam acara kegemarannya, lompat kijang yang akan berlangsung Isnin ini.

Pada hari pertama olahraga dipertandingkan, skuad olahraga negara berjaya mengumpul satu emas, lima perak dan satu gangsa manakala Indonesia mendahului pungutan pingat empat emas, dua perak dan satu gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 8:14 PM