ALIYAH (tengah) hadiah emas keempat buat kontinjen negara.
ALIYAH (tengah) hadiah emas keempat buat kontinjen negara.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelari pecut remaja negara Nor Aliyah Abdul Rahman menembus kekecewaan dalam acara 100 meter di Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara di Filipina apabila meraih emas 200m semalam.

Aliyah yang berusia 15 tahun tampak tidak gentar bersaing dengan mereka lebih berusia untuk menghadiahkan emas keempat negara di kejohanan berkenaan.

Pelari dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail itu melakarkan catatan masa terbaik peribadi 25.25 saat, menewaskan pelari Vietnam Thi Hoa Duong (25.68s) manakala gangsa milik atlet tuan rumah Jesell Lumapas (26.02s).

Bagi jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim, beliau berpuas hati dengan prestasi pelari muda itu biarpun hanya memantau kelibatnya dari jauh.

Poad yang kini berada di Afrika Selatan bersama skuad pecut negara berkata, apa yang dilakarkan Aliyah satu perkembangan positif.

“Sebenarnya pendedahan antarabangsa seperti ini dengan umur yang baru 15 tahun sangat baik untuk dia melangkah lebih jauh.

“Walaupun baru berusia 15 tahun dia dapat atasi rasa gementar berlari dengan pelari lebih berusia dan juga berjaya mencatatkan masa terbaik peribadinya,” katanya.

Hari kedua temasya menyaksikan kontinjen negara menyumbangkan tiga emas, tiga perak dan dua gangsa.

Dua lagi emas disumbangkan atlet lompat kijang lelaki Muhammad Nazri Mustafa dengan lompatan sejauh 14.86m dan Nani Syahirah acara lontar peluru, 13.91m.

Tiga perak disumbangkan Muhammad Ilham Suhaimi (400m), Muhammad Solihin Jamali (200m) dan Norashikin Abas (11.99m).

Gangsa diraih Muhammad Amirul Arif Mohd Azri (1,500m) dan Dinesh Varma Selvam (2,000m lari berhalangan).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 6:33 AM