SEORANG kanak-kanak menangis di kem pelarian di sempadan Greece-Macedonia berhampiran Indomeni, Greece, semalam.  Kira-kira 14,000 pelarian dan pendatang kini terperangkap di kawasan itu selepas Macedonia menutup pintu sempadannya.
SEORANG kanak-kanak menangis di kem pelarian di sempadan Greece-Macedonia berhampiran Indomeni, Greece, semalam. Kira-kira 14,000 pelarian dan pendatang kini terperangkap di kawasan itu selepas Macedonia menutup pintu sempadannya.
Agensi

Brussels: Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) mengadakan sidang kemuncak dengan Perdana Menteri Turki semalam dalam usaha mengatasi masalah pendatang dan pelarian.

Ia juga akan mendesak Ankara menerima penghantaran semula sejumlah besar pelarian ekonomi yang kini terkandas di Greece.

Kesatuan Eropah mengambil tindakan mengukuhkan pendirian untuk menangani krisis pelarian terburuk sejak Perang Dunia Kedua dengan meletakkan tanggungjawab itu ke atas Turki dan anggota EU, Greece, sebagai balasan kepada bantuan yang dihulurkan kepada kedua-dua negara itu.

Turki dan Greece menjadi pintu utama pendatang untuk ke Eropah dengan Greece menjadi laluan penghubung ke negara barat Balkan, yang sebelum ini digunakan oleh ribuan pendatang untuk ke Eropah, sehingga negara terbabit bertindak menutup pintu sempadan mereka baru-baru ini, tindakan yang kini di sokong EU.

Tindakan negara Balkan itu, khususnya Macedonia, menyebabkan ribuan pendatang yang terdesak untuk ke Jerman dan negara Scandinavia kini terperangkap di Greece.

Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu berkata, negaranya bersedia bekerjasama dengan Eropah bagi menangani isu pendatang itu.

Bagaimanapun, menurutnya, ia tidak akan dapat menyekat sama sekali tindakan pendatang untuk menyeberang Laut Aegean bagi membolehkan mereka ke Eropah.

“Semua orang tahu bagaimana Laut Aegean dan tidak mungkin sesebuah negara dapat menghalang sama sekali pendatang menyeberangnya.

“Tetapi itu tidak bermakna kami akan berdiam diri saja,” katanya, sebaik tiba di Brussels untuk menghadiri sidang itu.

Belanda, penganjur bersama sidang kemuncak itu berkata, EU tidak akan hanya mendesak Turki menghentikan pengaliran pendatang bukan warga Syria, tetapi juga rakyat Syria yang melarikan diri dari negara mereka kerana peperangan.

Sementara itu, menjelang sidang kemuncak itu, sekurang-kurangnya 25 pendatang, termasuk 10 kanak-kanak mati lemas selepas bot mereka karam dalam di Laut |Aegean.

Menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi, sebelum kejadian kelmarin, seramai 418 orang terbunuh atau hilang di Laut Aegean selepas berlepas dari pantai di Turki.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 7:08 AM