TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyambut jabat Naib Cancelor Universiti Malaysia Sabah, Profesor Datuk Dr Mohd Harun Abdullah, di Kota Kinabalu. FOTO Edmund Samunting
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyambut jabat Naib Cancelor Universiti Malaysia Sabah, Profesor Datuk Dr Mohd Harun Abdullah, di Kota Kinabalu. FOTO Edmund Samunting
Mohd Razlan Salleh dan Mohd Ruzaini Zulkepli

Kota Kinabalu: Kerajaan kesal dengan tindakan beberapa individu terutama berstatus negarawan cuba mempengaruhi rakyat menukar kepimpinan negara melalui cara salah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan tokoh politik utama negara termasuk pembangkang untuk menukar kepimpinan melalui 'jalan belakang' adalah bertentangan dengan amalan demokrasi.

"Barisan kepimpinan negara dipilih secara sah melalui pilihan raya dan tindakan dilakukan pihak tertentu adalah tidak masuk akal serta berpaksikan kepada kebenaran.

"Oleh itu, tindakan mahu menggulingkan kerajaan melalui sistem diluar perundangan adalah lebih kepada kehendak individu tertentu dengan agenda tersendiri," katanya ketika sidang media selepas mengadakan Perjumpaan Tertutup UMNO Sabah, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Ahmad Zahid berkata, ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) diseru supaya bersatu memperkukuhkan ikatan.

"Rakyat perlu yakin kerajaan komited dan fokus kepada usaha memastikan pembangunan negara dirancang dapat dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, Musa berkata, UMNO negeri akan terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku presiden parti tanpa berbelah bagi.

Musa yang juga Pengerusi Perbadanan UMNO negeri menegaskan pihaknya tetap berdiri utuh dan mempertahankan sokongan meskipun berdepan rintangan.

"Kami akan terus memperkasakan barisan dan perpaduan bagi mempertahankan beliau (Najib) tanpa berbelah bagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2016 @ 2:00 PM