Ahmad  Zahid (tengah) pada Mesyuarat Perwakilan Bahagian UMNO Zon 5, Sabah.
Ahmad Zahid (tengah) pada Mesyuarat Perwakilan Bahagian UMNO Zon 5, Sabah.
Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: “Parti ditubuhkan atas dasar rasa kecewa, dendam, kemarahan dan kebencian pasti jangka hayat tidak kekal,” kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, semua tahu ada beberapa parti yang kini ditubuhkan atas dasar itu dan keadaannya berbeza dengan UMNO.

“Parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersatu di atas kesepaduan semua rakyat dan bukan hanya ‘cinta buta’. Gabungan BN adalah gabungan ummah.

“Sudah ada kejadian seperti sebelum ini iaitu ada individu yang menubuhkan parti selepas keluar daripada UMNO atas rasa tidak senang kepada institusi UMNO, tetapi parti itu tidak bertahan lama.

“Kita bukan mahu bernostalgia mengenang sejarah lalu, tetapi ia sudah tertulis dalam sejarah politik,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Mesyuarat Perwakilan Bahagian UMNO Zon 5 Sabah (Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Batu Sapi dan Libaran) di Dewan Sri Libaran di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ketua UMNO Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar, Ketua UMNO Beluran Datuk James Ratib dan Ketua UMNO Batu Sapi Datuk Shamsuddin Yahya.

Namun demikian, beliau menambah, semua ahli harus sentiasa bersiap-siaga lantas membuang jauh cara ‘berpolitik tukang kipas’.

“Cukup tukang kipas. Kita perlu ada kesalingan di antara pemimpin di atas dan mereka yang ada di bawah. Janganlah jadi batu api, tukang potong, jadi tukang cucuk atau istilah yang pernah saya gunakan jangan jadi politik sabit.

“Pada masa sama, jangan fikir kedudukan pemimpin yang sudah berada di atas itu adalah hebat. Saya ada di atas ketika ini adalah kerana mereka yang ada di bawah memberikan sokongan melalui parti keramat kita iaitu UMNO,” katanya.

Ahmad Zahid turut menegaskan supaya soal keselamatan tidak dipolitikkan termasuk keselamatan Sabah.

“Jangan politikkan soal keselamatan dan jangan remehkan peranan polis serta tentera atau rendahkan peranan mereka. Ini kerana mereka bergadai nyawa dan pengorbanan mereka perlu diberikan penghargaan.

“Kita boleh berbeza pendapat dalam soal ekonomi dan politik, tetapi tiada kompromi dalam keselamatan,” katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut memberitahu akan memberi perhatian terhadap pembangunan Lapangan Terbang Sandakan demi kepentingan masyarakat setempat.

Musa berkata, pihaknya yakin Sabah kekal menjadi simpanan tetap UMNO selepas berkesempatan merasmikan hampir semua mesyuarat perwakilan bahagian di negeri ini.

“Alhamdulillah, UMNO Sabah dalam keadaan yang baik. Apa yang saya lihat, UMNO Sabah kekal memiliki semangat yang tinggi dan dalam keadaan sepakat serta bersatu padu sehingga kini.

“UMNO sudah banyak berjasa kepada kita di Sabah walaupun kita adik bongsu dalam UMNO. Apabila ada parti baru yang ingin menggantikan atau berniat menukar kerajaan, harus ditanya apakah jaminan parti baru itu lebih hebat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 6:43 AM