NAJIB. FOTO Bernama
NAJIB. FOTO Bernama
Yusmizal Dolah Aling


ADA gerakan cuba membawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dicetuskan kumpulan yang 'kurang senang' dengan kepimpinan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kumpulan berkenaan juga dikatakan mempunyai agenda peribadi dan mula bergerak sejak Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memenangi jawatan berkenaan pada Jun 2018 lagi.

Setiausaha Agung Veteran Umno Datuk Mustapha Yaakub berkata, tindakan itu bukan saja dilihat gopoh, malah tidak wajar ketika tumpuan gerak kerja difokuskan kepada pengukuhan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, secara tradisi, Presiden Umno adalah Pengerusi BN dan itu sudah diamalkan sejak sekian lama tanpa sebarang persoalan.

"Sebelum ini gerakan itu meminta nasihat daripada Datuk Seri Najib dengan mengumpulkan sokongan daripada Ketua Umno bahagian-bahagian.

"Tetapi Najib tidak mahu, lalu mereka ini cetuskan pula gerakan untuk menjadikan dia sebagai Pengerusi BN pula. Ini tidak seharusnya berlaku," katanya kepada Harian Metro.

Mustapha berkata, seharusnya sesiapa juga termasuk bekas Presiden Umno itu menunggu sehingga pemilihan parti yang dijangka pada tahun depan untuk bertanding jawatan presiden seterusnya menjadi Pengerusi BN.

Katanya, pada masa ini ahli parti perlu membantu Ahmad Zahid mengukuhkan parti yang baru saja membentuk kerajaan bersama beberapa rakan politik lain.

"Ada yang beri alasan Ahmad Zahid gagal kerana ramai daripada Umno tak dapat jawatan dalam kerajaan sebagai menteri atau timbalan menteri.

"Mereka harus ingat, kuasa penentu bukanlah Presiden Umno tetapi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Umno hari ini bukan kepala, tetapi gerabak kereta api. Walaupun ada banyak kerusi, tetapi kita hanya mengikut dari belakang," katanya.

Semalam Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, pelantikan Najib sebagai Pengerusi BN adalah perlu untuk membantu Ahmad Zahid menguatkan Umno.

Difahamkan ada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) juga menggesa Najib membuat kemunculan semula sejak lebih setahun lalu ketika Pakatan Harapan di puncak kuasa, namun Ahli Parlimen Pekan itu mahu memberi tumpuan kepada kes mahkamah yang sedang dihadapinya.

Mustapha turut menasihatkan ahli Umno di semua peringkat agar tidak terpengaruh dengan sebarang gerakan yang boleh memecahbelahkan parti yang sudah mula kembali mendapat sokongan rakyat.

"Seperti saya katakan, mereka ini ada kepentingan bila Najib kembali memimpin. Yang kita kisahkan ialah bagaimana nasib rakyat, bukannya individu. Buat masa ini (gerakan) tak perlulah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 6:42 PM