AHMAD Zahid. FOTO arkib NSTP
AHMAD Zahid. FOTO arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kedudukan kepemimpinan Umno sedia ada akan ditentukan oleh hampir 160,000 perwakilan parti itu di seluruh negara.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka yang akan menentukan sama ada kepemimpinan sedia ada akan berubah atau kekal.

"Saya mempunyai pendirian bahawa kuasa untuk menentukan kepimpinan terletak pada kuasa dan suara perwakilan di seluruh negara.

"Terdapat hampir 160,000 perwakilan yang mewakili cawangan untuk menentukan sama ada kepimpinan sedia ada ataupun kepimpinan yang berubah untuk kita pastikan bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) terus relevan dalam pentas politik negara.

"Maka kuasa mutlak itu adalah kuasa perwakilan," katanya pada sidang media Majlis Amanat Tahun Baharu 2023, di kementeriannya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pertandingan untuk jawatan nombor satu dan dua Umno akan dibuka untuk dipertandingkan dalam pemilihan kali ini.

Ahmad Zahid turut membayangkan kesediaannya untuk dicabar dalam pemilihan Umno, dijangka tahun ini.

Katanya, beliau sebelum ini juga pernah dicabar dalam pemilihan pada 2018, namun kedua-dua pencabarnya gagal memperoleh undi yang banyak.

"Dulu pun saya dicabar. Dua orang cabar saya. Undi dua-dua orang yang mencabar saya itu masih belum sama dengan undi yang saya perolehi.

"Bukan saya riak tapi itu sudah terbukti pada 2018. Malah, kombinasi undi kedua-duanya itu sangat kurang berbanding dengan undi yang saya perolehi.

"Bukan riak, bukan sombong, bukan takbur, bukan ujub," katanya.

Pada Pemilihan Umno 2018, Ahmad Zahid yang memegang jawatan Presiden selepas Datuk Seri Najib Razak melepaskan kedudukan itu, dicabar Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin.

Selain itu, ahli Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan ahli Umno Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa pula gagal memperoleh sebarang undi.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, beliau belum berhasrat untuk menjemput pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan menghadiri Ucapan Dasar dan perasmian Perhimpunan Agung Umno pada 11 hingga 14 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 11:13 AM