MOHD Alim (berbaju Melayu) menyerahkan sijil SPM kepada ibu bapa Allahyarham ketika majlis pengumuman keputusan SPM 2015. FOTO Mohd Hanafis Abdul Haris
MOHD Alim (berbaju Melayu) menyerahkan sijil SPM kepada ibu bapa Allahyarham ketika majlis pengumuman keputusan SPM 2015. FOTO Mohd Hanafis Abdul Haris
Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: Suasana pilu menyelubungi dewan Sekolah Menengah Sains (SMS) Batu Pahat di sini, hari ini apabila seorang daripada pelajarnya yang mendapat keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 adalah mangsa lemas di Pantai Rhu 10, Setiu, Kuala Terengganu, Disember lalu.

Keputusan Allahyarham Muhammad Wafiq Mohd Noor, 17, itu diumumkan oleh Pengetuanya, Mohd Alim Konting dan sijil keputusan diserahkan kepada ibu dan bapanya Zabedah Kamdan, 56, dan Mohd Noor Ismail, 59.

Mohd Alim berkata, keputusan cemerlang itu seperti dalam jangkaan mereka berikutan prestasi Allahyarham yang amat baik sepanjang sesi pembelajarannya di sini.

"Arwah mendapat 7A dalam kertas percubaan lalu, namun usaha gigih dipamerkan pelajar itu menjadikan saya dan guru yang lain percaya dia akan mendapat keputusan cemerlang untuk SPM ini.

"Namun ketika penyampaian slip keputusan SPM di dewan sekolah tadi, arwah diwakili oleh ibu bapanya. Suasana gembira bertukar sebak apabila saya mengumumkan arwah turut tersenarai dalam 28 calon 9A dalam SPM 2015," katanya.

Dalam kejadian 9.30 pagi 21 Disember lalu, dua remaja dari Johor, Muhamad Naim Adnan, 17, dan Muhamad Wafiq yang mengikuti program keagamaan berbentuk kem ibadah lemas ketika mandi di Pantai Rhu 10, Setiu.

Mayat Muhamad Naim ditemui 11.45 pagi keesokan harinya manakala mayat Muhamad Wafiq ditemui selepas lima hari operasi mencari dan penyelamat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 5:42 PM