Zulfa Mohamad


‘YANG pergi takkan kembali’. Itu antara kalimat terakhir dimuatkan Muhamad Firdaus Abdul Gani, 18, dalam Facebook sebelum dia lemas ketika mandi bersama adiknya, Muhamad Naim, 15, di Pantai Miami, Batu Feringghi, semalam.

Ibu mangsa, Noorain Md Noor, 48, berkata dia mendapat tahu anak sulungnya itu memuatkan mesej dalam Facebook sebelun mereka sekeluarga bertolak ke Pantai Miami, semalam.

Noorain berkata, pada mulanya suaminya enggan ke pantai itu, tetapi arwah dan adiknya tetap beria-ia mahu mandi laut.

“Arwah anak sulung daripada empat beradik. Sangat rapat dengan adiknya, Muhamad Naim dan mereka beria-ia mengajak kami ke Pantai Miami bersama dua lagi adiknya berusia tujuh dan 11 tahun.

“Malah, arwah yang bekerja kilang mengambil cuti semata-mata untuk mandi laut,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah Muhamad Firdaus di Tanah Perkuburan Islam Pinang Tunggal, Kepala Batas, hari ini.

Allahyarham Muhamad Firdaus lemas selepas dikatakan ditarik ombak ketika cuba menyelamatkan Muhamad Naim yang hampir lemas, pada 12.15 tengah hari semalam.

Kejadian itu dilihat Abdul Gani dan dia sempat menyelamatkan Muhamad Naim, tetapi Muhamad Firdaus yang turut cuba membantu ditarik ombak ke tengah laut sebelum mayatnya ditemui tidak jauh dari tempat kejadian.

Noorain berkata, dia belum memberitahu Muhamad Naim mengenai ketiadaan arwah kerana anak keduanya itu masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Berita berkaitan

Abang hilang, adik selamat [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 12:37 PM
ABDUL Ghani Saad, 51, (kanan) dan isteri, Noorain Md Noor, 48, di pusara arwah anaknya, Muhamad Firdaus Abdul Gani, 18, di tanah perkuburan Kampung Permatang Langsat, Kepala Batas. Muhamad Firdaus (gambar dalam bulatan) meninggal dunia akibat lemas di Pantai Miami Batu Feringhi, Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam
ABDUL Ghani Saad, 51, (kanan) dan isteri, Noorain Md Noor, 48, di pusara arwah anaknya, Muhamad Firdaus Abdul Gani, 18, di tanah perkuburan Kampung Permatang Langsat, Kepala Batas. Muhamad Firdaus (gambar dalam bulatan) meninggal dunia akibat lemas di Pantai Miami Batu Feringhi, Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam