Mayat Muhammad Wafiq diusung sebelum dibawa ke HSNZ. FOTO ihsan bomba
Mayat Muhammad Wafiq diusung sebelum dibawa ke HSNZ. FOTO ihsan bomba
Oleh Zaid Salim


Marang: Mayat seorang lagi remaja yang hilang selepas mandi di Pantai Rhu Sepuluh, Penarik, Isnin lalu ditemui terdampar di Pantai Rhu Muda, Marang, 12.30 tengah hari tadi.

Mayat Muhammad Wafiq Mohd Noor, 17, ditemui kira-kira 100 kilometer mengikut jalan darat dari lokasi dia dilaporkan hilang sebelum

dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Pengecaman dibuat oleh kembar arwah, Muhammad Wafiy, 17, berdasarkan pakaian yang dipakai.

"Sah memang adik saya. Syukur alhamdulillah, Allah makbulkan doa kami sekeluarga sejak hari kejadian, (supaya Muhammad Wafiy ditemui)" katanya ketika ditemui di pekarangan rumah mayat HSNZ.

Katanya, dia dan adik-beradik serta bapa, Mohd Noor Ismail, 58, dan ibu, Zabedah Kamdan, 55, bersyukur mayat adiknya ditemui meskipun pada jarak lebih 100 kilometer dari tempat kejadian.

"Saya menerima berita penemuan mayat sebelum solat Jumaat dan bergegas ke hospital bersama keluarga selepas selesai solat Jumaat," katanya.

Menurutnya, dia dan keluarga mengucapkan ribuan terima kasih kepada anggota polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), penduduk kampung, nelayan dan mereka yang terbabit sama ada secara langsung atau tidak dalam usaha mencari adiknya.

Jenazah Muhammad Wafiq akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Bengkal, Parit Yaani, Batu Pahat, Johor sebaik tiba malam ini.

Dalam kejadian Isnin lalu, Muhammad Wafiq dan Mohd Naim Adnan, 17 hilang selepas mandi di pantai berkenaan.

Mayat Mohd Naim ditemui pada Selasa lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 6:45 PM