MUSTAPA      (berdiri, kiri) bersama Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Usahawan Datuk Abdul Majid Kutiran (berdiri, kanan) menyaksikan majlis MoU di antara Ketua Setiausaha MITI Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria (kanan) dengan Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad Datuk Farshila Emran  di Kuala Lumpur, semalam.
MUSTAPA (berdiri, kiri) bersama Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Usahawan Datuk Abdul Majid Kutiran (berdiri, kanan) menyaksikan majlis MoU di antara Ketua Setiausaha MITI Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria (kanan) dengan Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad Datuk Farshila Emran di Kuala Lumpur, semalam.

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyarankan industri automotif supaya meningkatkan keupayaan daya saing terutama dalam pasaran eksport.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, memandangkan terdapat persaingan yang hebat dalam kalangan penggerak perusahaan industri terbabit di peringkat global, pemain tempatan perlu setanding untuk terus mempunyai daya saing.

Beliau berkata, pihak industri tempatan juga perlu menyedari hakikat kebangkitan China yang secara beransur-ansur akan muncul sebagai negara pengeksport utama.

“Kementerian tidak berpuas hati dengan prestasi eksport industri ini yang jelas berbeza dibandingkan dengan pencapaian sektor komponen automobil.

“Eksport adalah antara petunjuk sejauh mana keupayaan daya saing kita kerana perlu berdepan persaingan gergasi industri seperti Jepun, Korea dan Amerika Syarikat,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) program pembangunan vendor membabitkan lima syarikat di sini, semalam.

Syarikat berkenaan adalah Tenaga Nasional Bhd, Keretapi Tanah Melayu Bhd, CIMB Group Holdings Bhd, UMW Corporation Bhd dan Pharmaniaga Bhd.

Mustapa berkata, kerajaan juga akan mengkaji semula perkembangan Dasar Automotif Negara (NAP) yang dilancarkan setahun lalu dan butirannya akan diumumkan pada pertengahan Januari 2015.

Menurutnya, walaupun NAP menunjukkan keupayaan beberapa syarikat dan mampu bersaing di pasaran, namun ada syarikat yang mencatat perkembangan sebaliknya.

Sementara itu, pemeteraian MoU itu adalah sebagai tanda komitmen syarikat dalam membantu kerajaan untuk membangunkan syarikat vendor Bumiputera selaras dengan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

MoU itu juga dijangka menyediakan tambahan peluang perniagaan bagi syarikat vendor Bumiputera dalam sektor terpilih dan mereka akan diberi bimbingan teknikal, khidmat nasihat bagi mencapai tahap daya saing yang membolehkan mereka bersaing dalam pasaran terbuka dan global.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 8:22 AM