Zuraida
Zuraida
Oleh Mohd Zaky Zainuddin


Kuala Lumpur: Industri perkayuan yang menjadi sektor penting kepada pembangunan ekonomi negara merekodkan eksport berjumlah RM13.2 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pencapaian eksport bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini adalah 13.79 peratus lebih tinggi berbanding RM11.59 bilion yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.

"Pada 2021, industri ini mencapai nilai eksport sebanyak RM22.7 bilion dengan perabot kayu yang menjadi komponen terpenting dalam industri perkayuan menyumbang nilai eksport sebanyak RM10.4 bilion.

"Produk ini berjaya dieksport ke lebih 160 buah negara termasuk pasaran utama perabot Malaysia seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun, Singapura, Australia dan United Kingdom," katanya pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara CTCS Worldwide Sdn Bhd (CWSB) dengan tujuh pemegang taruh di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, walaupun produk perkayuan dan perabot Malaysia mencatat prestasi eksport memberangsangkan di pasaran dunia, sumbangan usahawan Bumiputera dalam nilai eksport perkayuan masih jauh ketinggalan.

Katanya, berdasarkan nilai eksport perkayuan dan perabot, sumbangan usahawan Bumiputera dianggarkan kurang daripada 1.0 peratus sahaja.

"Kementerian melalui agensinya, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) serta anak syarikat MTIB iaitu CWSB menjalankan pelbagai program untuk memastikan bahawa agenda Bumiputera ini terus diperkasa melalui program yang sedang dilaksanakan buat sepanjang tahun ini," katanya.

Sejak penubuhan CWSB pada 2019, syarikat berkenaan diberikan mandat untuk menyokong pembangunan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera untuk meraih peluang pasaran samada pada peringkat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau kerajaan.

Kini, CWSB diberikan mandat yang lebih besar sebagai enam peneraju program pemerkasaan usahawan Bumiputera bagi memastikan daya saing tinggi usahawan berkenaan.

Zuraida berkata, kerajaan komited untuk memastikan usaha pembangunan usahawan Bumiputera diterjemahkan dalam pelan jangka masa panjang melalui kerjasama strategik bersama pihak agensi kerajaan Persekutuan, agensi kerajaan Negeri, universiti awam serta industri.

Katanya, CWSB juga menerima peruntukan RM25 juta dari kementerian dan tambahan RM10 juta bagi memperkasa industri perkayuan.

"Justeru, MoU antara CWSB dan pihak yang berkaitan pada hari ini akan menggambarkan tujuh komitmen semua pihak terhadap pembangunan keseluruhan rantaian ekosistem perkayuan termasuk golongan usahawan Bumiputera.

"Sebanyak tujuh MoU yang dimeterai ini bertujuan untuk memperkasakan penyertaan Bumiputera dalam industri kayu-kayan serta menggalakkan penggunaan produk kayu-kayan tempatan yang mapan.

"MoU ini juga akan membangunkan syarikat kayu-kayan Malaysia yang lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa melalui penyertaan dalam pameran atau program promosi serta kolaborasi dan promosi bersama pihak industri untuk produk kayu tempatan yang mampan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 7:01 AM