PENDUDUK bandar al-Shadadi di Syria mengambil peluang mengumpul barangan keperluan dan membeli makanan ketika gencatan senjata berkuat kuasa.
PENDUDUK bandar al-Shadadi di Syria mengambil peluang mengumpul barangan keperluan dan membeli makanan ketika gencatan senjata berkuat kuasa.
AFP

Moscow: Tentera Russia berkata semua pesawat perangnya menggantung operasi di Syria semalam sebagai mematuhi gencatan senjata yang dimeterai oleh Moscow dan Amerika Syarikat (AS).

Tentera Russia dan AS juga bertukar peta mengenai operasi mereka di Syria ketika pertempuran berhenti di 34 kawasan penempatan di Syria.

“Tentera udara Russia menghentikan sepenuhnya operasi pengeboman di zon hijau,” kata jurucakap tentera Russia, Sergei Rudskoi.

Zon hijau adalah kawasan di mana kumpulan bersenjata yang bertelagah bersetuju dengan gencatan senjata berkenaan.

Katanya, pada semalam semua penerbangan di ruang udara Syria termasuk penerbangan jarak jauh tidak dilakukan.

“Kami mahu mengelak kemungkinan berlakunya kesilapan serangan dan ia juga sebagai mematuhi resolusi Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” jelasnya.

Gencatan senjata yang diusahakan Moscow dan Washington itu mahu semua serangan dihentikan pada malam kelmarin antara tentera Syria yang disokong Russia dan beberapa kumpulan penentang.

Bagaimanapun, pengganas Daish dan kumpulan penentang Barisan Al-Nusra tidak menyertai gencatan senjata berkenaan.

Kata Rudskoi, 17 kumpulan bersenjata yang menyokong rejim Syria atau bergerak bebas menghubungi pusat koordinasi gencatan senjata Russia di Hmeimim dan berikrar untuk menghormati perjanjian itu.

Sementara itu, pusat koordinasi Russia di Syria memberitahu, dalam tempoh dua hari sebanyak 2.5 tan makanan dihantar ke dua penempatan di wilayah Homs dan Latakia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 8:59 AM