KEPULAN asap akibat bedilan artileri di Ghouta Timur. - Reuters
KEPULAN asap akibat bedilan artileri di Ghouta Timur. - Reuters
Agensi

Geneva/Beirut: Russia mendakwa penentang yang berkubu di timur Ghouta menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan dan pemindahan penduduk walaupun Moscow melaksanakan gencatan senjata lima jam sehari bagi membolehkan bantuan dihantar.

Menurut Reuters, Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov memberitahu Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Moscow akan terus menyokong tentera Syria sehingga ancaman pengganas ditumpaskan sepenuhnya.

“Russia bersama kerajaan Syria sudah mengumumkan koridor kemanusiaan di Ghouta Timur.

“Namun, penentang melancarkan serangan ketika tempoh gencatan senjata itu menghalang penghantaran bantuan dan pemindahan penduduk yang mahu keluar dari sana,” katanya.

Presiden Russia, Vladimir Putin, pada Isnin lalu mengumumkan gencatan senjata kemanusiaan lima jam setiap hari bagi membolehkan bekalan dihantar ke wilayah yang dikepung itu dan pemindahan penduduk.

Syria menghantar beberapa bas ke pusat pemeriksaan Al-Wafideen di Douma untuk penduduk yang mahu meninggalkan bandar berkenaan.

AFP melaporkan, tiada seorang pun penduduk Ghouta keluar dan pergi ke arah tentera yang mengawal pusat pemeriksaan.

Penduduk bagaimanapun, mengambil peluang keluar dari ruang bawah tanah, lokasi mereka berlindung daripada serangan udara, untuk memeriksa harta benda dan membeli makanan.

Ramai penduduk di wilayah yang terletak di pinggir Damsyik itu tidak percaya dengan gencatan senjata diumumkan Moscow.

“Gencatan senjata Russia ini pelik. Russia membunuh dan mengebom kami setiap hari. Saya tidak percaya ia selamat untuk keluarga saya berpindah dengan cara ini,” kata seorang penduduk, Samer al-Buaidhani.

Sementara itu, Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia memberitahu, pertempuran sengit tercetus kelmarin, di wilayah yang dikuasai penentang.

Serangan udara dan bedilan artileri di wilayah itu terhenti ketika tempoh gencatan senjata, namun pertempuran di darat berterusan di sekitar al-Zawahira dan Shaifuniyeh.

Enam mayat dikeluarkan dari bawah runtuhan bangunan yang dibom semalam, menjadikan jumlah orang awam yang terbunuh sejak 18 Februari lalu mencecah 590 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 4:15 AM