Mustapa (empat dari kanan) bersama wakil penaja dan artis. - Foto HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Mustapa (empat dari kanan) bersama wakil penaja dan artis. - Foto HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Mahaizura Abd Malik


 

Kuala Lumpur: Sempena ulang tahun jubli perak Harian Metro, siri Jelajah 25 Tahun Harian Metro dan Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro akan menemui pembaca di lokasi terpilih seluruh negara pada Mac dan April ini.

Siri Jelajah 25 Tahun Harian Metro itu bakal membuka tirainya di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada 4 dan 5 Mac diikuti Tanjung Mas, Muar , Johor (18 dan 19 Mac), Padang MPK3, Kuantan, Pahang (25 dan 26 Mac), Fan City Mall, Miri, Sarawak (15 dan 16 April) dan berakhir di Padang Merdeka, Kuching, Sarawak pada 23 dan 24 April.

Kemuncak program dimeriahkan dengan Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro pada 2 dan 3 April di Dataran Merdeka, di sini, membabitkan persembahan 10 artis terkenal seperti Datuk Jamal Abdillah dan Ella.

Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar berkata, penganjuran program berkenaan sebagai penghargaan dan terima kasih kepada sokongan pembaca selama 25 tahun akhbar nombor satu itu beroperasi.

"Penganjuran program ini bagi menghargai pembaca setia yang sentiasa menyokong akhbar ini sehingga kini. Tempoh 25 tahun bukanlah satu waktu yang singkat.

"Kami percaya tanpa sokongan pembaca, tidak mungkin Harian Metro dapat bertahan sampai sekarang," katanya selepas Majlis Mengumumkan Siri Jelajah dan Konsert Ledakan sempena Ulang Tahun Harian Metro ke-25 di Balai Berita, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar Pengiklanan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Jeannie Leong Lee Eu serta Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro Ahmad @Salim Bachok.

Mustapa berkata, program jelajah itu peluang terbaik Harian Metro mendekatkan diri dengan masyarakat dan berinteraksi secara langsung terutama generasi muda selain berlibur dan merehatkan diri

Pelbagai acara menarik, termasuk jualan cenderahati ekslusif Harian Metro, beramah mesra bersama artis tanah air, konsert mini, Harian Metro Picnic, trak makanan, sukaneka, pertandingan mewarna, permainan buih sabun gergasi dan pasir warna.

Jelajah 25 Tahun Harian Metro dan Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro turut dijayakan bersama rakan penaja, termasuk Yeo Hiap Seng Trading Sdn Bhd, Malaysia Airlines Berhad, Cactus, Unilever Food Solutions, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, GCH Guardian, Bank Rakyat, Grab, DRB-Hicom University of Automotive Malaysia dan AmBank Group.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 8:00 PM