Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Program Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro Bersama Yeo’s yang berlangsung di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini, hari ini, dengan penganjuran pelbagai aktiviti dan kehadiran barisan artis terkenal, dijangka menarik kehadiran lebih 10,000 pengunjung.

Siri jelajah pembuka tirai berkenaan bakal menjadi landasan terbaik buat Harian Metro mendekati masyarakat dan berinteraksi secara langsung terutama generasi muda selain menyajikan pelbagai wadah hiburan.

Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro Ahmad Salim @ Bachok berkata, selain konsert, pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti sukaneka, jualan trak makanan, cenderahati, selain peraduan mewarna untuk kanak-kanak dan cabutan bertuah.

Menurutnya, pelbagai hadiah menarik disediakan untuk pengunjung yang menyertai aktiviti yang disediakan dan program bermula jam 4 petang hingga tengah malam.

“Bagaimanapun, kami mengalu-alukan orang ramai supaya datang lebih awal iaitu bermula jam 1 tengah hari untuk pendaftaran bagi menyertai pelbagai acara yang disediakan, namun penyertaan adalah terhad kepada 100 peserta dewasa untuk mengambil bahagian.

“Selain itu, kami turut mengehadkan hanya 30 kanak-kanak untuk menyertai pertandingan mewarna yang turut diadakan di booth Harian Metro,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, selain itu, dua penaja iaitu Yeo’s dan Cactus turut menyediakan pelbagai acara di booth masing-masing untuk memeriahkan majlis berkenaan.

Katanya, konsert menampilkan artis seperti Maya Karin, Dayang Nurfaizah, kumpulan 6ixth Sense, Indah Ruhaila dan Sandra, akan bermula jam 9 hingga 11.30 malam.

“Tujuan sisi jelajah ini diadakan sebagai penghargaan kepada semua pembaca setia Harian Metro yang memilih akhbar ini sebagai bahan untuk mendapatkan maklumat.

“Justeru, kami amat mengalu-alukan orang ramai bukan saja di Alor Setar, malah dari kawasan utara termasuk di seluruh kawasan Kedah, Perlis dan Pulau Pinang untuk hadir memeriahkan program yang disediakan,” katanya.

Selepas Kedah, lokasi seterusnya akan ke Tanjung Mas, Muar, Johor pada 18 dan 19 Mac ini; Dewan MPK Kuantan, Pahang (25 dan 26 Mac); Fan City Mall, Miri, Sarawak (15 dan 16 April) dan Padang Merdeka, Kuching Sarawak pada 23 dan 24 April.

Kemuncak program itu dimeriahkan penganjuran Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 2 April ini membabitkan persembahan penyanyi terkenal seperti Datuk Jamal Abdillah, Ella, Amy Search, XPDC, Siti Nordiana, Ezad Lazim dan Ayda Jebat.

Program ini dijayakan bersama rakan penaja termasuk Yeo Hiap Seng Trading Sdn Bhd, Malaysia Airlines Berhad, Cactus, Unilever, Food Solutions, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, GCH Guardian, Bank Rakyat, Grab, DRB Hicom University of Automotive Malaysia dan Ambank Group.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2016 @ 6:47 AM
PEKERJA membuat persiapan bagi pelancaran Program Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro Bersama Yeo’s.
PEKERJA membuat persiapan bagi pelancaran Program Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro Bersama Yeo’s.