MUSTAPA (tiga dari kanan), Ahmad (dua dari kanan) bersama rangkaian penaja, Pengurus Besar Pemasaran Yeo Hiap Seng, Vincent Chui (empat dari kiri), wakil Grab, Regina Robin Arumugam (tiga dari kiri), wakil Bank Rakyat, Khairulisham Junuha (kanan) dan wakil Unilever Food Solutions, Angelina Ho (dua dari kiri) pada sidang media Konsert Ledakan sempena Sambutan 25 Tahun Harian Metro di Balai Berita, semalam
MUSTAPA (tiga dari kanan), Ahmad (dua dari kanan) bersama rangkaian penaja, Pengurus Besar Pemasaran Yeo Hiap Seng, Vincent Chui (empat dari kiri), wakil Grab, Regina Robin Arumugam (tiga dari kiri), wakil Bank Rakyat, Khairulisham Junuha (kanan) dan wakil Unilever Food Solutions, Angelina Ho (dua dari kiri) pada sidang media Konsert Ledakan sempena Sambutan 25 Tahun Harian Metro di Balai Berita, semalam
Oleh Fazurawati Che Lah


Kuala Lumpur: Kemuncak Konsert Ledakan 25 tahun Harian Metro (HM) yang bakal diadakan di Setia City Park @ Oval Lawn, Setia Alam pada 2 dan 3 April ini akan dimeriahkan dengan kehadiran 14 artis terkenal tanah air dan Indonesia.

Konsert sempena ulang tahun itu menampilkan penyanyi terkenal Datuk Jamal Abdillah, Ella, Dayang Nurfaizah, Amy Search, Ezad Lazim, Drama Band, Ronie Husin, Tasha Mansahar & Syed, Shamim, Shiha Mentor, Ayda Jebat, Siti Nordiana, XPDC serta artis Indonesia Papinka.

Lebih menarik, konsert itu bakal dikendalikan dua pengacara terkenal iaitu Sherry Alhadad dan AG.

Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar berkata, karnival itu sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada pembaca yang setia menyokong akhbar berkenaan sehingga kini.

“Sesuai dengan slogan ulang tahun ke-25 iaitu Menyelami Jiwa Masyarakat, Harian Metro ingin berkongsi suka duka kejayaan kami dengan pembaca dengan menganjurkan Konsert Ledakan ini.

“Penganjuran siri jelajah dan konsert ini bakal dimeriahkan dengan pengisian pelbagai aktiviti menarik untuk semua lapisan masyarakat,” katanya dalam ucapan pada sidang media Konsert Ledakan sempena Sambutan 25 Tahun Harian Metro di Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro Ahmad @ Salim Bachok, Pengurus Besar Pengiklanan NSTP Jeannie Leong Lee Eu dan Pengurus Besar Pemasaran NSTP Farah Ezrin Mohd Rashidi.

Menurut Mustapa, program itu adalah peluang terbaik Harian Metro untuk mendekatkan diri dengan masyarakat dan berinteraksi secara langsung dengan pembaca terutama generasi muda.

Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sepanjang dua hari karnival berlangsung antaranya Zumba Metro, Ejector Trampoline, karaoke, peraduan di Instagram, pertandingan gusti lengan dan permainan kereta kawalan jauh.

Selain itu terdapat juga aktiviti untuk kanak-kanak seperti buih sabun gergasi, ‘sand art’ dan pertandingan mewarna.

Pengunjung boleh menjamu selera di 25 trak makanan yang menjual pelbagai jenis makanan seperti rojak, cendol, nasi lemak, burger dan char kuetiau.

Sebelum ini konsert jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro diadakan di pekarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah sebagai pembuka tirai.

Kemudian diteruskan ke Tanjung Mas, Muar, Johor pada 18 dan 19 Mac lalu, Padang MPK3, Kuantan, Pahang (25 dan 26 Mac), Fan City Mall, Miri, Sarawak (15 dan 16 April) dan Padang Merdeka, Kuching, Sarawak pada 23 dan 24 April.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 8:31 AM