MAYA
MAYA
SANDRA
SANDRA
Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Orang ramai di Alor Setar, Kedah berpeluang bertemu dengan selebriti popular seperti Maya Karin, 6ixth Sense, Indah Ruhaila dan Sandra di pasar raya besar Mydin, Taman Saga malam ini.

Sesi ramah mesra bersama peminat bermula jam 8 malam hingga 9 malam ini sempena program Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro Bersama Yeo’s.

Penyanyi dan pelakon, Maya Karin berkata, dia teruja dan tidak sabar bertemu peminat di negeri Jelapang Padi, malam ini.

“Harapan saya, semoga mereka semua terhibur dengan kehadiran kami,” kata pelakon popular menerusi filem Jwanita dan Pontianak Harum Sundal Malam.

Bagi penyanyi baru Sandra yang kini popular dengan lagu Hey Kau, dia juga berharap peminat di Kedah dapat menerima kehadirannya sebagai pendatang baru.

“Walaupun lagu saya kerap berkumandang di radio, tetapi saya yakin ada yang belum mengenali saya. Jadi, dengan adanya sesi bertemu peminat sebegini, saya dapat memperkenalkan diri dan mendekati peminat,” katanya.

Selain sesi bertemu peminat, perkarangan Stadium Darul Aman pula dihangatkan dengan pelbagai aktiviti bermula jam 4 petang esok.

Antara aktiviti menarik bakal disajikan kepada pengunjung ialah sukaneka Harian Metro, jualan trak makanan, jualan cendera hati, peraduan mewarna kanak-kanak dan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah menarik.

Acara kemuncaknya ialah konsert di lokasi sama turut menampilkan persembahan Maya, Sandra, 6ixth Sense, Indah Ruhaila dan Dayang Nurfaizah yang akan bermula jam 8 malam.

Selepas Alor Setar, lokasi seterusnya siri jelajah ini Tanjung Mas, Muar, Johor pada 18 dan 19 Mac ini; Padang MPK3, Kuantan, Pahang (25 dan 26 Mac); Fan City Mall, Miri, Sarawak (15 dan 16 April) dan Padang Merdeka, Kuching, Sarawak pada 23 dan 24 April.

Kemuncak program dimeriahkan penganjuran Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s pada 2 April ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur membabitkan persembahan penyanyi terkenal tanah air seperti Datuk Jamal Abdillah, Ella, Amy Search, XPDC, Siti Nordiana, Ezad Lazim dan Ayda Jebat

Program ini dijayakan bersama rakan penaja, termasuk Yeo Hiap Seng Trading Sdn Bhd, Malaysia Airlines Berhad, Cactus, Unilever Food Solutions, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, GCH Guardian, Bank Rakyat, Grab, DRB-Hicom University of Automotive Malaysia dan AmBank Group.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 10:19 AM