MAYA Karin.
MAYA Karin.
6IXTH Sense.
6IXTH Sense.
SANDRA.
SANDRA.
INDAH Ruhaila.
INDAH Ruhaila.
DAYANG Nurfaizah.
DAYANG Nurfaizah.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Sempena ulang tahun ke-25 Harian Metro tahun ini, siri Jelajah 25 Tahun Harian Metro dan Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro akan menemui pembaca di lokasi terpilih seluruh negara bermula Sabtu ini hingga April.

Sebagai pembuka tirai, pekarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah dipilih sebagai lokasi pertama Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bermula jam 9 malam, Sabtu ini.

Konsert yang menampilkan penyanyi popular seperti Dayang Nurfaizah, Maya Karin, 6ixth Sense, Indah Ruhaila dan Sandra turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti penampilan watak animasi Boboiboy, sukaneka, pertandingan mewarna, persembahan badut dan jualan cenderamata Harian Metro bermula jam 4 petang.

Sementara itu, semua penyanyi terbabit turut mengadakan sesi beramah mesra dengan peminat di pasar raya Mydin, Taman Saga, Alor Setar bermula jam 8 malam hingga 9 malam, Jumaat ini.

Dayang berkata, dia teruja dan tidak sabar bertemu dengan peminat di utara tanah air.

“Sebelum ini, kalau ada persembahan di luar Kuala Lumpur pun, kebanyakannya untuk majlis korporat. Jadi, dengan adanya Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro ini, saya dapat beramah mesra dan menghiburkan mereka,” katanya.

Berkongsi mengenai persembahannya Sabtu ini, Dayang memaklumkan dia bakal mempersembahkan dua lagu iaitu Di Pintu Syurga dan Tak Pernah Menyerah.

Bagi penyanyi baru Sandra, dia turut teruja kerana ini kali pertama dia menyertai konsert jelajah sebegini.

“Bersama Harian Metro, ini adalah konsert jelajah pertama saya. Memang saya sangat teruja dan saya berharap kehadiran saya akan memeriahkan lagi suasana dan semoga penonton dapat menerima saya,” katanya.

Sandra juga akan menggunakan kesempatan ini untuk mendekati peminatnya.

“Dengan adanya program sebegini, ia menjadi platform buat saya untuk lebih mendekati peminat,” katanya yang menyampaikan lagu popularnya, Hey Kau dan sebuah lagu cover.

Selepas Alor Setar, Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro diteruskan ke Tanjung Mas, Muar, Johor pada 18 dan 19 Mac ini, Padang MPK3, Kuantan, Pahang (25 dan 26 Mac), Fan City Mall, Miri, Sarawak (15 dan 16 April) dan Padang Merdeka, Kuching, Sarawak pada 23 dan 24 April.

Kemuncak program dimeriahkan dengan penganjuran Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro pada 2 dan 3 April di Dataran Merdeka membabitkan persembahan 10 artis terkenal tanah air seperti Datuk Jamal Abdillah, Ella, Amy Search, XPDC, Siti Nordiana, Ezad Lazim, Ayda Jebat dan ramai lagi.

Sementara itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro ­Datuk Mustapa Omar berkata, penganjuran program berkenaan sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan pembaca selama 25 tahun akhbar nombor satu itu beroperasi.

“Penganjuran program ini bagi menghargai pembaca setia yang sentiasa menyokong akhbar ini sehingga kini. Tempoh 25 tahun bukanlah satu waktu yang singkat.

“Kami percaya tanpa sokongan pembaca, tidak mungkin Harian Metro dapat bertahan sampai ke hari ini,” katanya.

Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro dan Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro turut dijayakan bersama rakan penaja seperti Yeo Hiap Seng Trading Sdn Bhd, Malaysia Airlines Berhad, Cactus, Unilever Food Solutions, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, GCH Guardian, Bank Rakyat, Grab, DRB-Hicom ­University of Automotive Malaysia dan AmBank Group.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 11:21 AM