Anngota Parlimen Indonesia, Fanny Safriansyah atau lebih dikenali sebagai Ivan Haz. - Foto Detik.com
Anngota Parlimen Indonesia, Fanny Safriansyah atau lebih dikenali sebagai Ivan Haz. - Foto Detik.com
BERNAMA

Jakarta: Seorang Anggota Parlimen Republik Indonesia dari Parti Persatuan Pembangunan (PPP), Fanny Safriansyah atau lebih dikenali sebagai Ivan Haz, adalah antara beberapa orang termasuk anggota penguat kuasa yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes penyalahgunaan dadah.

Media tempatan memetik Ketua Badan Narkotik Nasional Budi Waseso berkata, Ivan Haz antara yang ditahan dalam operasi di sebuah kem tentera di sini pada Isnin lalu.

Ivan Haz, 38, anak bekas naib presiden Indonesia Hamzah Haz, memenangi kerusi parlimen bagi kawasan Jawa Tengah pada pilihan raya umum 2014.

Menurut laporan media dalam talian, Ivan Haz yang juga anggota Komisi IV Dewan Perwakilan Rakyat dipercayai ditahan ketika membeli dadah jenis syabu di sebuah markas Angkatan Darat.

Ivan Haz sebelum ini pernah dikaitkan dalam beberapa kes jenayah termasuk penderaan pembantu rumahnya tahun lalu, tetapi tidak didakwa kerana kekurangan bukti.

Sementara itu, Setiausaha Agung PPP Muhammad Romahurmuziy turut mengesahkan pihaknya dimaklumkan mengenai penahanan Ivan Haz dan menyerahkan kes itu kepada pihak berkuasa.

Katanya setakat ini, pihak parti belum menghubungi Ivan Haz dan tidak tahu di mana wakil rakyat itu berada.

Ketua Polis Republik Indonesia Badrodin Haiti berkata, dalam operasi khas di kem tentera itu, pihak berkuasa menahan 19 anggota tentera, lima anggota polis dan sembilan orang awam termasuk seorang wakil rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 11:24 PM