MUHAMMAD Romahurmuziy.
MUHAMMAD Romahurmuziy.
Reuters

Jakarta: Agensi antirasuah Indonesia semalam, menamakan ahli politik Islam terkenal yang menyokong kempen Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo’ sebagai suspek kes rasuah.

Pengerusi Parti Persatuan Pembangunan (PPP), Muhammad Romahurmuziy didakwa menerima rasuah untuk memastikan dua orang diberikan jawatan peringkat atasan di Kementerian Hal Ehwal Agama.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK) Indonesia, Laode Syarif berkata, Romahurmuziy ditahan kelmarin, beberapa minggu sebelum pilihan raya presiden diadakan pada 17 April.

Memandangkan 60 peratus kes dikendalikan KPK berkaitan politik, Laode mengingatkan orang awam menjelang pilihan raya bahawa mereka perlu mengundi calon yang jujur.

Menurutnya, sebagai siasatan rasuah, KPK merampas 156.8 juta rupiah (RM44,000).

Dalam surat bertulisan tangan yang diedarkan kepada media, Romahurmuziy mendakwa beliau dianiaya dan kes itu bermotifkan politik.

“Inilah risiko menjadi jurucakap kerajaan campuran yang mahu Indonesia diketuai pemimpin nasionalis dan sederhana dalam beragama,” tulisnya dalam surat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 6:02 AM