IVAN teruja pertama kali berlakon dalam drama Melayu.
IVAN teruja pertama kali berlakon dalam drama Melayu.
Georgie Joseph


HAMPIR sedekad terbabit dalam bidang lakonan, impian Ivan Tai, 27, untuk berlakon dalam drama Melayu menjadi kenyataan menerusi drama A.I in Love di saluran RTM.

Ternyata jejaka kelahiran Perak ini sangat teruja dengan pencapaian terbaharunya itu.

Ivan bukan nama baharu dalam pasaran hiburan Cina tempatan. Malah, dia sudah menjayakan beberapa filem dan drama selain terus aktif sebagai penyanyi sejak 2013.

Apapun, pembabitannya dalam A.I in Love benar-benar membuatkan dia bangga. Ini kerana dia akhirnya keluar dari zon selesa sendiri dengan mencabar diri membintangi drama Melayu.

Dia mengakui ia sesuatu yang baharu untuknya dan tugas itu bukan mudah.

Justeru, dia berusaha memperbaiki diri terutama dalam pertuturan bahasa Melayu bagi memberikan yang terbaik untuk wataknya sebagai Roy.

"Oleh kerana ini adalah watak sulung yang menuntut saya berbahasa Melayu sepenuhnya, saya tidak mahu hampakan ramai orang. Sebaik mendapat skrip, saya mula bekerja keras untuk berlatih.

"Lebih penting adalah saya perlu menggunakan loghat bahasa Melayu yang benar-benar baik dalam setiap dialog saya. Sudah tentu ia tugasan mencabar, namun syukur saya berjaya memberikan yang terbaik," katanya.

Ivan cukup gembira apabila akhirnya ada syarikat produksi drama Melayu yang membuka mata terhadap bakatnya. Dia tidak berhenti mengucap syukur dengan kepercayaan yang diberikan buatnya.

"Saya amat gembira kerana diberi peluang untuk menjayakan projek ini. Saya beruntung menjadi sebahagian daripada produksi luar biasa dan dapat bekerjasama dengan penerbit eksekutif, Rahayu Wahid dan pengarah, Nor Ashikin Zainal," katanya.

Selain Ivan, drama ini turut dibintangi Janna Nick, Dini Schatzmann, Sham Visa, Emelda Rosmila, Keith Foo, dan Lia Natalia. Ia berkisar mengenai kehidupan 'influencer'.

Watak Roy lakonan Ivan adalah rakan sekerja Iskandar (Dini) yang membuat penampilan dalam dua daripada empat episod drama terbabit. Drama itu mendapat reaksi positif orang ramai berikutan pendekatannya menggabungkan elemen animasi.

Dilahirkan pada 28 Julai 1994, Ivan juga bertugas sebagai penyampai berita. Dia memulakan kerjayanya sebagai model dalam muzik video My Tiny Times nyanyian Catherine Leong. Dia turut menjadi tetamu jemputan dalam Kampung Quest arahan Feisal dan Iskander Azizuddin.

Sejak 2014, dia mula membuat penampilan di kaca TV dan filem. Ivan melakonkan watak Guo Xiang dalam filem River of Exploding Durians arahan Edmund Yeo. Pada masa itu, Ivan melanjutkan pelajarannya di universiti.

Selepas itu, Ivan mula bekerja di RTM dan menjadi penyampai berita sejak tiga tahun lalu. Kini dia aktif mencari peluang dalam cabang lakonan bagi mengembangkan lagi namanya dalam industri seni.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 4:46 PM