PEKERJA penyelamat dan sukarelawan berusaha mengeluarkan mayat seorang mangsa.
PEKERJA penyelamat dan sukarelawan berusaha mengeluarkan mayat seorang mangsa.

Kaherah: Sebuah bangunan kediaman lapan tingkat runtuh di sini semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dan tujuh yang lain cedera.

Menurut sumber, jumlah kematian mungkin meningkat dalam kejadian yang berlaku di timur laut bandar raya itu.

Perkhidmatan kecemasan, anggota tentera dan penduduk menghabiskan masa sepanjang pagi menyelongkar timbunan runtuhan setinggi lima meter untuk mencari mangsa yang tertimbus.

Seorang pegawai majlis tempatan, Ahmed Fawzi memberitahu wartawan, hanya empat orang terselamat dalam kejadian berkenaan yang menurutnya mungkin berpunca daripada pembinaan secara haram di atas bangunan itu.

Kejadian seperti itu bukanlah luar biasa di Mesir memandangkan kebanyakan bangunan apartmen lama biasanya terabai dan kebanyakan bangunan baru dibina tanpa permit atau mematuhi standard keselamatan untuk menjimatkan kos pembinaan.

Seorang pegawai berkata, empat bangunan berhampiran dengan satu daripadanya rosak akibat runtuhan itu, dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 5:05 AM