Axiata Group Berhad (Axiata) mencatatkan keputusan belum diaudit bagi suku tahun ketiga 2014 dengan perolehan RM13.9 bilion.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) menurun 5.9 peratus kesan daripada pemerolehan Axis. Manakala, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) merosot 11.2 peratus terutamanya disebabkan oleh EBITDA Kumpulan dan kerugian tukaran mata wang asing.

Segmen data terus menjadi pemacu utama pertumbuhan sehingga 27.9 peratus dengan semua pasaran hasil data menunjukkan pertumbuhan yang menggalakkan berikutan peningkatan penembusan telefon pintar.

Data terus menjadi segmen Celcom yang paling pesat berkembang. Walaupun pasaran lembap keseluruhan, data pertumbuhan yang memberangsangkan sebanyak 20.4 peratus dengan sumbangan sehingga 20.9 peratus daripada jumlah hasil berbanding 16.7 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.

Bagi menyokong permintaan data yang semakin meningkat, Celcom akan meningkatkan tumpuannya kepada data mudah alih dengan perkhidmatan data inovatif dan aplikasi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim berkata, pihaknya menyaksikan hasil yang diperoleh daripada data terus meningkat di semua pasaran baru dibuktikan khususnya oleh Dialog, Robi dan Smart.

Melangkah ke hadapan, pihaknya memaklumkan bahawa projek transformasi IT dua tahun di Celcom kini telah selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:17 AM