Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Axiata Group Bhd (Axiata) merekodkan prestasi kewangan kukuh dengan keuntungan bersihnya meningkat kepada RM9.8 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, berbanding RM818.90 juta tahun sebelumnya.

Pengerusi Axiata, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, kekuatan kumpulan dalam pelaksanaan dan daya tahan yang berterusan, ketangkasan, dan kepantasan dalam menangani cabaran sepanjang 2022 dicerminkan dalam prestasi tahun kewangan yang kukuh.

Katanya, dengan selesainya proses penggabungan dan pengambilalihan (M&A) mereka pada 2022, Axiata berada di landasan tepat untuk mengukuhkan kedudukan kepimpinannya dalam perniagaan telco dan infrastruktur digital merentasi jejak serantaunya.

"Daripada infrastruktur, perusahaan, kepada penyelesaian pengguna, perubahan struktur berterusan kami ialah bertujuan untuk meletakkan Axiata dan syarikat operasi (OpCos) pada kedudukan yang kukuh untuk menawarkan penyelesaian bersepadu yang memenuhi keperluan transformasi perusahaan dan pengguna yang sudah beralih trend.

"Atas dasar ini, kami berbesar hati untuk mengisytiharkan dividen kedua sebanyak lima sen untuk tahun berakhir 31 Disember 2022.

"Ini menjadikan pengisytiharan dividen keseluruhan kumpulan kepada 14 sen untuk tahun penuh 2022," katanya.

Peningkatan ketara keuntungan bersih itu didorong oleh keuntungan bersih sekali sahaja daripada penggabungan Celcom-Digi berjumlah RM13.5 bilion, diimbangi oleh Susut Nilai dan Pelunasan (D&A) yang lebih tinggi, cukai (Cukai Makmur dan Cukai surcaj sekali sahaja Dialog), kos kewangan bersih, serta kemerosotan nilai muhibah.

Pendapatan Axiata turut meningkat 6.3 peratus kepada RM27.5 bilion berbanding RM25.90 bilion sebelumnya, manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) meningkat sembilan peratus kepada RM12.4 bilion, disumbangkan oleh semua OpCos kecuali Dialog dan Ncell.

Sementara itu, Axiata turut menyasarkan pertumbuhan hasil sehingga 5.0 peratus, tidak termasuk peranti, untuk tahun kewangan 2023 walaupun keadaan pasaran tidak menggalakkan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bersama Axiata, Vivek Sood berkata, kumpulan menjangkakan momentum pertumbuhan cemerlang dalam beberapa pasaran seperti Sri Lanka dan Bangladesh yang akan berterusan tahun ini.

Menurutnya, Axiata menyasarkan pertumbuhan satu digit yang rendah berikutan persekitaran makro masih tidak begitu kondusif, inflasi tinggi dan kemampuan rakyat adalah satu cabaran (kepada pertumbuhan) dalam beberapa pasaran yang sedang beroperasi.

"Bagi perbelanjaan modal (capex), Axiata akan memperuntukkan sebanyak RM7.1 bilion tahun ini, yang sebahagian besarnya akan digunakan untuk perniagaan di semua pasaran, berjumlah RM2.5 bilion, serta untuk operasi di Indonesia, terutamanya dalam perniagaan jalur lebar tetap dan mudah alih," katanya di taklimat media mengenai keputusan tahun kewangan 2022 Axiata, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 9:20 PM