AXIATA sedia dana RM150 juta  kepada peniaga mikro perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat wabak Covid-19.
AXIATA sedia dana RM150 juta kepada peniaga mikro perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat wabak Covid-19.
Bisnes HM


AXIATA Group Berhad (Axiata) bersama anak syarikatnya, Celcom Axiata Berhad (Celcom), edotco Group (edotco) dan Axiata Digital mengumumkan dana tunai sebanyak RM150 juta kepada peniaga mikro perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Program Bantuan Covid-19 Axiata itu meliputi RM20 juta yang disalurkan Kementerian Kewangan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, program berkenaan dilaksanakan bagi membantu usahawan mikro PKS yang berdepan masalah kewangan khususnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kumpulan usahawan mikro PKS ini mewakili lebih 50 peratus daripada jumlah PKS di Malaysia dan kebanyakannya juga tergolong di bawah kumpulan B40.

“Malah, mereka juga kebiasaannya mempunyai simpanan dan aliran tunai yang minimum dalam menghadapi keadaan luar jangka seperti ketika ini,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, melalui Axiata Digital, pihaknya menawarkan pembiayaan mikro berasaskan Shariah melalui platform Aspirasi dengan jumlah antara RM1,000 dan RM10,000.

“Ia dijangka memberi manfaat kepada 150,000 usahawan mikro di bawah ekosistem Boost, Aspirasi dan Celcom serta mereka yang terbabit secara langsung dalam ekosistem e-dagang dan e-dompet,” katanya.

Menurutnya, lebih menarik, usahawan mikro yang berminat hanya perlu menjalani proses secara dalam talian yang boleh diselesaikan dalam tempoh tiga minit dan jika layak, dana berkenaan akan disalurkan ke akaun usahawan dalam tempooh 48 jam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 8:01 PM