FOTO Arkib NSTP
FOTO Arkib NSTP
Bisnes HM

Kuala Lumpur: Kumpulan Axiata Berhad (Axiata), Telenor Asia Pte Ltd (Telenor) dan Digi.Com Berhad (Digi) telah berjaya menyelesaikan proses ketekunan wajar dan telah memeterai perjanjian urus niaga bagi cadangan penggabungan Celcom Axiata Berhad (Celcom) dan Digi (MergeCo).

Susulan pengumuman pada 8 April lalu bahawa Axiata dan Telenor dalam perbincangan lanjut bagi cadangan penggabungan, perjanjian yang dimeterai hari ini membuktikan kesungguhan cadangan itu bagi membentuk perdagangan yang lebih kukuh dan penyedia perkhidmatan konvergens yang lebih mampan dan menjadi pengendali telekomunikasi tempatan yang mampu meletakkan hasrat Malaysia sebagai sebuah negara digital.

Berdasarkan pro forma, penggabungan Celcom-Digi akan membentuk sejumlah 19 juta pelanggan dengan pendapatan sekitar RM12.4 bilion, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) sejumlah RM5.7 bilion, keuntungan selepas cukai sejumlah RM1.9 bilion dan aliran tunai bebas sejumlah RM4 bilion.

Axiata dan Telenor bakal menjadi rakan niaga setara dengan masing-masing menguasai 33.1 peratus pegangan di dalam MergeCo, dan MergeCo akan terus disenaraikan di Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa).

Dijangka menjadi antara lima syarikat terbesar disenaraikan di Bursa berdasarkan penguasaan pasaran, MergeCo dinilai pada nilai ekuiti pra-sinergi yang digabungkan mencecah hampir RM50 bilion.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris berkata, pihaknya menunjukkan kemajuan menerusi penggabungan yang sedang berlangsung dengan Telenor dan Digi, sejajar dengan hasrat dan komitmen untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada pelanggan dalam usaha pendigitalan ekonomi negara.

"Kami berharap dapat memberikan nilai tambah dan pilihan lebih baik yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat, terutamanya untuk merapatkan jurang di kawasan luar bandar serta membantu perniagaan kediaman dan perusahaan memanfaatkan peluang baru dalam persekitaran digital yang pesat ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Asia di Kumpulan Telenor, Jørgen A Rostrup berkata, dengan mengandaikan kelancaran peralihan, dalam tempoh pasca integrasi, pihaknya menjangkakan peningkatan dalam Ebitda dan margin aliran tunai dalam entiti gabungan seiring dengan komitmen berterusan untuk memaksimumkan pembayaran dividen bagi pemegang saham.

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan Axiata untuk merealisasikan potensi syarikat yang dicadangkan untuk penggabungan ini.

"Industri telekomunikasi sedang berada dalam peralihan digitalisasi yang menarik, dan teknologi baru akan mengubah cara kita berkembang dan memberikan perkhidmatan kepada sektor swasta dan awam.

"Dengan penggabungan ini, kami bawakan bersama-sama daya saing, kekuatan kewangan dan skala melangkaui keterhubungan dan melaksanakan teknologi yang mampu membawa pelanggan kepada satu pengalaman digital ke hadapan," katanya.

Penggabungan ini bakal merancakkan lagi perkembangan 5G, internet kebendaan (IoT) dan pengkomputeran awan (cloud computing) yang bakal memacu proses digitalisasi merentasi seluruh pelusuk masyarakat.

MergeCo juga menyasarkan untuk melakukan pelaburan sehingga RM250 juta bagi tempoh lima tahun bagi membangunkan Pusat Inovasi bertaraf dunia yang bakal ditubuhkan di Kuala Lumpur bertujuan menjadi pemangkin kepada transformasi digital IR4.0, mengukuhkan ekosistem tempatan dan meletakkan Malaysia sebagai peneraju evolusi digital antarabangsa.

Menerusi pemakluman awal, Axiata dan Telenor bersepakat mencalonkan Izzaddin sebagai Pengerusi; Rostrup sebagai Timbalan Pengerusi; Idham Nawawi sebagai CEO dan Albern Murty sebagai Timbalan CEO MergeCo yang akan dinamakan Celcom Digi Berhad tertakluk kepada kelulusan daripada pemegang saham MergeCo.

Dalam aspek kepentingan nasional, Axiata dan pemegang saham institusi utama Malaysia dijangka memiliki lebih dari 51 peratus MergeCo selepas selesai.

Axiata dan Telenor juga menegaskan komitmen mereka dalam melindungi kebajikan pekerja tanpa sebarang pemberhentian secara paksa.

MergeCo akan memberi peluang kepada kakitangannya untuk terus membangunkan kendiri pada setiap fungsi, meningkatkan kecekapan baharu dan menjadi sebahagian daripada pertumbuhan syarikat yang digabungkan ini pada masa hadapan.

Di akhir proses ini, penggabungan Celcom dan Digi akan memberikan Axiata saham baharu yang diterbitkan di Digi, mewakili 33.1 peratus daripada modal saham terbitan Digi yang diperbesar, pertimbangan tunai sebanyak RM2 bilion di mana kira-kira RM1.7 bilion daripada Digi sebagai hutang di MergeCo dan kira-kira RM300 juta dari Telenor sebagai sebahagian daripada pemerataan pemilikan berdasarkan syarat penggabungan yang dicadangkan.

Cadangan penggabungan ini dijangka dapat diselesaikan pada suku kedua 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 2:43 PM