GAMBAR fail menunjukkan  Kim bersama Ri ketika perarakan tentera sempena ulang tahun ke-70 Parti Pekerja tahun lalu.
GAMBAR fail menunjukkan Kim bersama Ri ketika perarakan tentera sempena ulang tahun ke-70 Parti Pekerja tahun lalu.
AP

Seoul: Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dipercayai membunuh panglima tenteranya atas beberapa tuduhan, termasuk rasuah, kata pegawai Korea Selatan, semalam.

Jika benar, pembunuhan Ri Yong Gil - ketua kakitangan am tentera Korea Utara - adalah yang terbaru dalam beberapa siri pembunuhan, pembersihan dan penyingkiran yang dilakukan Kim sejak dia mula berkuasa pada hujung 2011.

Butiran mengenai kegiatan kerajaan Korea Utara amat sukar diperoleh pihak luar dan pegawai Korea Selatan menghadapi kesukaran menjejaki perkembangan di negara itu.

Seorang pegawai Korea Selatan menyifatkan pembunuhan Ri sebagai usaha Kim untuk mengukuhkan kuasanya.

Katanya, antara tuduhan dihadapi Ri sebelum dihukum mati ialah menyalahguna kuasa dan membentuk kelompok.

Pegawai itu tidak menyatakan bagaimana dia memperoleh maklumat itu dan juga enggan mendedahkan namanya kerana ia membabitkan risikan rahsia mengenai Korea Utara.

Ri - jeneral tentera yang memegang jawatan itu pada 2013 - dianggap antara pembantu paling dipercayai Kim kerana kerap menemaninya untuk memeriksa unit tentera dan kilang.

Spekulasi mengenai nasibnya tersebar apabila dia tidak dilihat di dua acara kebangsaan utama Korea Utara, iaitu mesyuarat pegawai kanan Parti Pekerja minggu lalu, selain perhimpunan menyambut pelancaran roket negara itu, minggu ini.

Khidmat risikan Korea Selatan berkata Julai lalu, 70 pegawai Korea Utara dihukum mati sejak pelantikan Kim - jauh menjangkaui jumlah awal pemerintahan ayahnya Kim Jong Il.

Sebelum pembunuhan Ri, pegawai kanan lain yang dihukum mati ialah Menteri Angkatan Tentera Hyon Yong Chol kerana dituduh tidak setia dan bapa saudara Kim sendiri, Jang Song Thaek atas tuduhan derhaka.

Pakar luar menganggap tindakan Kim itu menunjukkan kedudukannya belum cukup kukuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 7:50 AM