SAIFUDDIN Nasution menyampaikan ucapan pada Majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous. FOTO Aizuddin Saad
SAIFUDDIN Nasution menyampaikan ucapan pada Majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous. FOTO Aizuddin Saad
Amir Abd Hamid dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Semua pihak diminta untuk tidak mempolitikkan sebarang program taklimat dan penerangan kewarganegaraan yang dianjurkan pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (Dun).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu kewarganegaraan bukanlah baharu sebaliknya ia juga turut berlaku ketika beliau menjadi wakil rakyat.

"Saya pernah menjadi wakil rakyat beberapa penggal dan banyak pusat khidmat Dun tidak kiralah kerajaan atau pembangkang menerima permintaan daripada rakyat berkaitan permohonan kewarnegaraan.

"Antaranya membabitkan anak luar nikah, anak angkat, anak lahir luar negara atau ibu bapa berkahwin di luar negara.

"Justeru, janganlah ini (isu kewargangeraan) dikalutkan sehingga menuduh satu gerakan tersusun untuk memberi warganegara secara borong," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini.

Mengulas lanjut, Saifuddin turut meminta semua pihak memberi ruang kepada wakil rakyat untuk menjalankan tugas sesuai dengan tujuan mereka dilantik termasuk menyelesaikan isu kewarganegaraan.

"Malah, pagi ini, saya menerima mesej daripada Ahli Parlimen di Kelantan yang menerima banyak aduan mengenai masalah kewarganegaraan.

"Ini kerana kawasannya berdekatan dengan Siam (sempadan Thailand), banyak kes kahwin dengan warga tempatan. Jadi apabila wakil rakyat menganjurkan program seumpama ini, ia perlu dilihat daripada kaca mata yang jernih," katanya.

Pada 8 Jun lalu, majlis taklimat dan penerangan kewarganegaraan anjuran Pusat Khidmat Dun Stulang yang dijadualkan 30 Jun depan, dilaporkan ditangguhkan selepas mencetuskan kontroversi dan kecaman awam.

Adun Stulang, Andrew Chen Kah Eng yang juga Setiausaha DAP Johor dilaporkan berkata, taklimat berkenaan diadakan bagi menangani isu tidak memiliki status kewarganegaraan atau sijil kelahiran akibat kecuaian ibu bapa, selain sebab-sebab lain.

Bagaimanapun, katanya, penganjuran program itu menimbulkan salah faham ramai susulan penularan posternya.

Terdahulu, poster program berkenaan tular media sosial mendapat kecaman dan disifatkan sebagai acara bagi memberi pendatang asing di negeri ini taraf kewarganegaraan.

Malah, ada pengguna media sosial meminta pihak berkuasa menyiasat penganjuran acara berkenaan.

Pemuda Umno Johor turut mendesak program anjuran Andrew itu, dibatalkan serta-merta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 6:31 PM