Seoul: Menteri Pertahanan Korea Utara dihukum mati di khalayak ramai dengan senjata antipesawat kerana tidur ketika satu mesyuarat tentera dan ‘menjawab’ pemimpin negara itu Kim Jong-Un.

Hyon Yong-Chol, 66, yang dilantik menjadi ketua tentera pada 2012 dibunuh di hadapan ratusan pegawai di sebuah kem tentera di Pyongang 30 Arpil lalu.

Ini bukan kali pertama senjata antipesawat ZPU-4 digunakan untuk melaksanakan hukuman mati di khalayak ramai di Korea Utara.

Imej satelit yang disebarkan baru-baru ini menunjukkan sejumlah orang dibunuh menggunakan cara yang kejam itu Oktober lalu.

Dalam pembunuhan itu, mangsa dibariskan hanya 30 meter dari senjata yang mampu menjejaki sasaran sejauh 8,000 meter.

Timbalan Pengarah Agensi Perisikan Kebangsaan Korea Selatan (NIS), Han Ki-Beom memberitahu jawatankuasa Parlimen semalam, ratusan pegawai menyaksikan pembunuhan Hyon di Akademi Tentera Kang Kon, kira-kira 22 kilometer ke utara Pyongyang.

Anggota Parlimen Korea Selatan Shin Kyoung-min yang menghadiri taklimat itu berkata, NIC percaya laporan itu sahih.

Pelaksanaan hukuman mati ke atas Hyon mulanya dilapor oleh agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Hyon yang berucap kali terakhir di khalayak ramai ketika menghadiri satu persidangan keselamatan di Moscow April lalu, dilapor menunjukkan rasa tidak hormat kepada Kim dengan tidur di satu acara, kata anggota Parlimen Korea Selatan itu.

Dia juga dipercayai menyuarakan rasa kurang senang terhadap Kim dan beberapa kali tidak mematuhi arahan pemimpin itu, menurut anggota Parlimen berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 6:45 AM