RI (tiga dari kiri, depan) disamping suaminya Jong Un ketika hadir menyaksikan Teater Seni Mansudae. FOTO Reuters
RI (tiga dari kiri, depan) disamping suaminya Jong Un ketika hadir menyaksikan Teater Seni Mansudae. FOTO Reuters
Agensi

Pyongyang: Isteri dan ibu saudara kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un membuat penampilan umum yang jarang berlaku selepas sekian lama menyepi.

Klip video memaparkan isteri Jong Un, Ri Sol Ju dan ibu saudara lelaki itu, Kim Kyong Hui ditayangkan di televisyen negara itu, baru-baru ini.

Ia ketika mereka menemani pemimpin negara itu pada persembahan seni di Teater Seni Mansudae di ibu negara Pyongyang untuk meraikan cuti Tahun Baharu Cina.

The National melaporkan keluarga pemimpin Korea Utara selesa untuk tidak menonjolkan diri sepanjang pandemik Covid-19.

Ri kali terakhir dilihat pada 9 September lalu ketika ulang tahun penubuhan negara itu, apabila dia menyertai suaminya di Istana Matahari Kumsusan.

Menerusi siaran televisyen, Ri yang mengenakan pakaian tradisional merah dan hitam dilihat berbual dan tersenyum dengan Jong Un, ketika mereka bersama-sama menyaksikan persembahan.

Kedua-duanya kemudian naik ke pentas untuk bersalaman dan bergambar bersama artis.

Klip itu juga mengesahkan penampilan pertama ibu saudara Jong Un, sejak Januari 2020.

Wanita terbabit adalah tokoh penting dalam tahun-tahun pertama pemimpin itu berkuasa dan menyepikan diri selepas suaminya, Jang Song-thaek, dihukum mati kerana pengkhianatan pada 2013.

Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan (NIS) Korea Selatan berkata pada 2017, Kyong Hui sedang berhadapan dengan penyakit yang tidak diketahui di luar Pyongyang, sebelum pertama kali muncul semula pada 2019.

Ri sebelum ini, pernah mendapat perhatian antarabangsa kerana dia sering menemani Jong Un dalam acara sosial, perniagaan dan ketenteraan.

Situasi itu berbeza dengan bapa Jong Un, Kim Jong Il, yang jarang dilihat di khalayak ramai dengan mana-mana isterinya.

Foto Ri sebelum ini tidak disiarkan dalam media kerajaan selama lebih setahun sebelum wanita itu dilihat pada konsert Februari lalu, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa dia hamil.

NIS percaya Jong Un dan Ri mempunyai tiga anak, tetapi tidak banyak maklumat diketahui mengenainya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Februari 2022 @ 6:30 AM