SAIFUDDIN (dua kanan) memakaikan pangkat Sarjan kepada Mohd Hasif yang cedera dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram pada majlis pemakaian pangkat di PULAPOL. FOTO Aizuddin Saad
SAIFUDDIN (dua kanan) memakaikan pangkat Sarjan kepada Mohd Hasif yang cedera dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram pada majlis pemakaian pangkat di PULAPOL. FOTO Aizuddin Saad
Amir Abd Hamid dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Dua anggota polis, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, yang terkorban dalam serangan terhadap Balai Polis Ulu Tiram, Johor, bulan lalu dinaikkan pangkat kepada Koperal secara anumerta.

Kenaikan pangkat secara anumerta adalah ganjaran yang diberikan kepada polis yang terkorban semasa melaksanakan tugas dengan cemerlang sekali gus pengiktirafan bagi menghargai jasa serta pengorbanan yang ditunjukkan sewaktu menjalankan tugas.

Pada majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous (anumerta) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini, yang disempurnakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, waris Ahmad Azza Fahmi juga menerima cek cura bernilai keseluruhan sebanyak RM216,632.92 meliputi bantuan mengurus jenazah, syer kerajaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), gantian cuti rehat, ex-gratia kematian dan ex-gratia terbitan.

Selain itu waris Ahmad Azza Fahmi turut menerima pampasan kematian (skim Takaful Berkelompok) sebanyak RM72,500 diserahkan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad.

Manakala waris Muhamad Syafiq menerima cek cura bernilai keseluruhan sebanyak RM213,586.30 meliputi bantuan mengurus jenazah, syer kerajaan KWSP, gantian cuti rehat, ex-gratia kematian dan ex-gratia terbitan.

Selain itu waris Muhamad Syafiq turut menerima pampasan kematian (skim Takaful Berkelompok) yang diserahkan oleh Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad kepada waris juga adalah sebanyak RM72,500.

Pada majlis sama, tiga anggota Balai Polis Ulu Tiram menerima kenaikan pangkat secara medan iaitu Koperal Mohd Hasif Roslan dinaikkan ke pangkat Sarjan, Lans Koperal Mohamad Aznel Mat Salleh dinaikkan ke pangkat Koperal dan Konstabel Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa dinaikkan ke pangkat Koperal.

Kenaikan pangkat secara medan adalah kenaikan secara luar biasa diberikan kepada polis masih bertugas dan berjaya melaksanakan tugas dengan amat cemerlang serta pengorbanan ditunjukkan berada di tahap amat tinggi nilainya.

(DARI kiri) Mohd Khairul Azhar, Mohd Hasif Roslan dan Mohamad Aznel menunjukkan sijil kenaikan pangkat. FOTO Aizuddin Saad
(DARI kiri) Mohd Khairul Azhar, Mohd Hasif Roslan dan Mohamad Aznel menunjukkan sijil kenaikan pangkat. FOTO Aizuddin Saad

Dalam kejadian pada 17 Mei lalu, dua anggota polis Balai Polis Ulu Tiram terkorban akibat ditembak serta ditetak dalam serangan dilakukan seorang individu bertopeng.

Suspek lelaki berusia 21 tahun turut maut dalam serangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 5:58 PM