Duta Besar Malaysia di Korea Utara,  Mohamad Nizan Mohamad  ditemu bual  wartawan ketika transit dari Pyongyang di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing, China, selepas dipanggil balik oleh kerajaan Malaysia, semalam.
Duta Besar Malaysia di Korea Utara, Mohamad Nizan Mohamad ditemu bual wartawan ketika transit dari Pyongyang di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing, China, selepas dipanggil balik oleh kerajaan Malaysia, semalam.

Kuala Lumpur: Tentera Korea Selatan kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan pembunuhan Kim Jong-nam.

Agensi berita Korea Selatan, Yonhap, memetik Ketua Operasi Tentera Laut Laksamana Um Hyun-seong sebagai berkata: “Pembunuhan Kim Jong-nam jelas menunjukkan kekejaman dan perbuatan melulu rejim itu. Keadaan keselamatan di semenanjung Korea dan rantau sekarang ini berada dalam keadaan bahaya.”

Beliau berkata demikian ketika meninjau kedudukan tenteranya di Pulau Udo dan Yeonpyong yang terletak di Laut Barat berhampiran sempadan kedua-dua negara.

Korea Selatan percaya Korea Utara mungkin akan melakukan provokasi terhadap negaranya.

Ketegangan antara kedua-dua seteru itu meruncing berikutan tindakan Pyongyang melakukan ujian pelancaran peluru berpandu pada 12 Februari.

Kematian Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pada 13 Februari memburukkan lagi keadaan.

Korea Selatan menuding jari kepada Korea Utara atas kematian Jong-nam itu, manakala Pyongyang mendakwa Seoul berpakat dalam siasatan Malaysia ke atas kematian warga Korea Utara itu.

Pegawai tentera laut kanan Seoul itu menggesa berwaspada menghadapi sebarang kemungkinan provokasi dari Korea Utara.

Sehari sebelum itu, memetik laporan Yonhap, Menteri Pertahanan Korea Selatan Han Min-koo mengarah tentera berada dalam keadaan bersiap sedia menghadapi kemungkinan serangan ketenteraan oleh Korea Utara.

Pemangku Presiden Korea Selatan, Hwang Kyo-ahn menyifatkan pembunuhan Kim Jong-nam sebagai “jenayah terhadap kemanusiaan yang tidak boleh diterima dan itu perbuatan pengganas yang didalangi rejim Korea Utara.”

Yonhap melaporkan Menteri Penyatuan Korea Selatan pula menolak dakwaan Korea Utara mengatakan Seoul terbabit dalam siasatan ke atas kematian Jong-nam.

Kementerian itu berkata, Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol menuduh Malaysia “berpakat dan cuba mengambil hati kuasa asing” dalam siasatan itu.

Tuduhan itu, kata kementerian, merujuk kepada Korea Selatan.

Kang Chol dilaporkan berkata pembunuhan Jong-nam paling memberi manfaat kepada Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 5:29 AM