KETUA Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. FOTO Arkib NSTP
KETUA Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. FOTO Arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


KETUA Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan beliau tidak bersikap perkauman kerana salah seorang anaknya turut dihantar ke Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (Cina).

Katanya, masyarakat tidak memahami isu apabila beliau menentang pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) sehingga dilabel bersikap perkauman.

“Masyarakat kena faham isu, SJK adalah sebahagian sekolah yang berpandukan Akta Pendidikan Negara dan di bawah Dasar Pendidikan Negara.

“Saya berani hantar salah seorang anak ke SJK kerana acuan ko-kurikulum masih sama dan tiada perbezaan dengan sekolah kebangsaan (SK) melainkan tambahan bahasa semata-mata.

“Namun, apa yang kita tentang adalah untuk iktiraf sekolah-sekolah menengah Cina swasta. Sekiranya ia dilakukan, negara akan berhadapan dengan sesuatu yang tidak sihat,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, sesuatu sijil peperiksaan tidak mungkin dikawal selia oleh badan bukan kerajaan (NGO), dan sudah pasti ia akan mendatangkan masalah pada masa akan datang.

“Jika ia (UEC) diiktiraf, tidak mustahil kita akan mempunyai pelbagai sijil peperiksaan, berbanding sekarang masih dikawal selia oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Mana mungkin kita mahu cedok dari Taiwan dan mahu iktiraf yang akhirnya kita mempunyai pelbagai sistem dan ko-kurikulum yang berbeza-beza, sedangkan sistem yang sedia ada cukup terbaik.

“Saya merasakan sekiranya mahu melihat bangsa Malaysia bersatu padu dan mempunyai citra yang sama, ia perlu dicapai menerusi sistem sama. Jika benar ia (UEC) dilaksanakan, di mana jati diri kita nak bina bangsa Malaysia?” katanya.

Pada masa sama, Asyraf Wajdi mencadangkan kerajaan memperkenalkan bahasa Cina dan Tamil untuk diajar di sekolah rendah dan menengah.

Katanya, pendekatan itu bagus untuk rakyat pada masa akan datang apabila mereka akan menguasai lebih daripada dua bahasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Julai 2018 @ 7:19 PM