Petikan video pemandu bas ekspres mengasari penumpang yang tersebar di media sosial.
Petikan video pemandu bas ekspres mengasari penumpang yang tersebar di media sosial.
BERNAMA

Ipoh: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menggantung kad pemandu atau membatalkan lesen pemandu bas yang didakwa mengasari penumpang dalam kejadian 25 Januari lalu.

Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar bagaimanapun berkata, tindakan itu akan diambil selepas siasatan terperinci mengenai kejadian itu selesai dijalankan polis.

"Biarlah (polis) selesaikan siasatan terlebih dahulu dan selepas itu baru kita ambil tindakan termasuk membatalkan lesen pengusaha bas berkenaan.

"Polis akan mengambil tindakan terhadap pemandu bas tersebut. Pihak SPAD akan mengambil tindakan terhadap pengusaha bas serta pemandu bas berdasarkan siasatan polis," katanya selepas mengadakan lawatan ke Terminal Bas Amanjaya di sini, hari ini.

Katanya perbuatan pemandu bas itu tidak beretika kerana tidak menggambarkan budaya rakyat negara ini.

Syed Hamid berkata, pihaknya juga memanggil pemandu dan penumpang bas berkenaan untuk membantu siasatan membabitkan penguatkuasaan pengangkutan.

Rakaman video kejadian seorang pemandu bas ekspres mengasari seorang penumpang lelaki ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pulau Pinang, tersebar di media sosial.

Pemandu dikatakan naik angin apabila penumpang berkenaan tidur di kerusi yang dikhaskan untuk pemandu. Susulan kejadian itu, penumpang berkenaan membuat laporan polis pada 28 Januari lalu, di Balai Polis Melaka Tengah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 6:48 PM