SYED Hamid (dua kiri) pada sidang media. FOTO Nabihah Kamal
SYED Hamid (dua kiri) pada sidang media. FOTO Nabihah Kamal
Nabihah Kamal


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggantung lesen operator serta 26 permit bas Syarikat Qistna Express Sdn Bhd selama sebulan bermula hari ini.

Ia susulan bas syarikat berkenaan rempuh 10 kenderaan berhampiran Terowong Menora, Ahad lalu.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, penggantungan bermula hari ini kerana perlu melalui beberapa prosedur.

Katanya, laporan mengatakan penggantungan dibuat serta merta sebelum ini tidak benar.

"Terdapat pelbagai prosedur yang perlu dilalui sebelum SPAD mengantung lesen syarikat ini termasuk bekerjasama dengan Institusi Penyelidikan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk menyiasat punca kemalangan.

"Selain itu, perkara lain yang perlu dititik beratkan adalah penumpang yang sudah membeli tiket daripada syarikat berkenaan. Mengikut prosedur yang sedia ada, SPAD perlu mengeluarkan notis kepada semua stesen bas untuk tidak membenarkan bas di bawah kelolaan syarikat itu mengambil penumpang," katanya pada sidang media di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), petang tadi.

Menurut Syed Hamid, pihaknya bekerjasama dengan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memperbaiki kelemahan sistem rekod pemandu bas.

"Pihak kami tidak mempunyai maklumat kesalahan lampau pemandu atau syarikat bas berkenaan. Oleh itu, kami perlu berbincang dengan agensi lain untuk berkongsi maklumat bagi memudahkan tindakan diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2016 @ 5:19 PM