BAS ekspres memecut di lebuh raya dan melanggar had laju ditetapkan.
BAS ekspres memecut di lebuh raya dan melanggar had laju ditetapkan.

Kuala Lumpur: Masih degil dan tidak makan nasihat! Itu antara tindakan 18 pemandu bas ‘kamikaze’ yang masih memecut di lebuh raya serta melanggar had laju ditetapkan.

Tindakan membahayakan nyawa ratusan penumpang bas ekspres itu dikesan susulan operasi penyamaran dilakukan anggota Jabatan Tindakan Khas Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sejak Isnin lalu hingga semalam.

Operasi tertumpu kepada perkhidmatan bas ekspres bermula dari ibu kota menuju ke utara tanah air.

Jurucakap SPAD berkata, Operasi Khas Bas Ekspres itu sengaja diadakan di luar musim perayaan bagi mengesan salah laku pemandu bas.

Menurutnya, SPAD mengambil tindakan terhadap 18 bas ekspres daripada lapan syarikat berlainan atas pelbagai kesalahan.

“Anggota kami melakukan penyamaran sebagai penumpang dan ada yang mengikut bas dari terminal di ibu kota hingga ke destinasi terakhir bas berkenaan.

“Antara hentian bas dikunjungi SPAD di Terminal Bersepadu Selatan, di sini, Terminal Kangar di Perlis, Terminal Bas Shahab Perdana Alor Setar di Kedah, Terminal Bas Sungai Petani di Kedah dan Terminal Bas Komtar di Pulau Pinang,” katanya.

Harian Metro sebelum ini juga pernah melakukan penyamaran sebagai penumpang perjalanan ke utara dan timur tanah air bagi mengenal pasti beberapa kesalahan dilakukan pemandu bas ekspres.

Beliau berkata, antara kesalahan dilakukan sepanjang perjalanan ialah tidak mematuhi had laju, gagal mematuhi jadual perjalanan, gagal menghantar penumpang ke destinasi yang dipersetujui, tiada kawalan tiket danmenurunkan penumpang di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Pihak kami mengenal pasti 18 bas melakukan kesalahan itu. Sebaik tiba di terminal terakhir, pihak kami memanggil pemandu bas untuk pemeriksaan dan diambil tindakan.

“Semua kes disiasat mengikut Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan pengendali lesen boleh dikenakan hukuman,” katanya.

Menurutnya, pihaknya melakukan operasi selepas mendapati pemandu bas ekspres tidak mengutamakan keselamatan penumpang ketika menjalankan perkhidmatan.

“Saya mahu mengingatkan pengendali lesen atau pemandu bas supaya mengutamakan keselesaan dan keselamatan kepada penumpang bas serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 4:39 AM