BAS ekspress diperiksa anggota dan pegawai SPAD. FOTO ihsan SPAD
BAS ekspress diperiksa anggota dan pegawai SPAD. FOTO ihsan SPAD
Ibrahim Isa


EMPAT bas kilang dan sebuah bas ekspres disita Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kerana melanggar syarat permit di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru.

Bas itu disita menerusi Ops Serkap dua hari yang berakhir hari ini.

Jurucakap SPAD Johor berkata, Ops Serkap yang dijalankan itu hasil aduan orang ramai berikutan tindakan pemandu bas mengambil penumpang di dalam bangunan itu hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Katanya, Ops Serkap diketuai Eksekutif Kanan SPAD Johor, Asmadi Mat dibantu 12 anggota SPAD Johor dengan kerjasama pegawai Ibu Pejabat SPAD.

"Pemandu berkenaan mengenakan caj RM2 bagi setiap penumpang untuk membawa mereka ke KIK Woodlands, Singapura dan hasil siasatan, kami dapati mereka mampu memperoleh sehingga RM100 setiap hari.

"Bagaimanapun, tindakan mereka yang menyusahkan lebih 10,000 pengguna setiap pagi dan serbuan dilakukan hasil aduan orang ramai yang mendakwa banyak bas kilang, persiaran, ekspres dan sewa berhenti di tepi jalan untuk mengambil penumpang hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

"Tindakan itu menyalahi syarat permit kerana hanya bas henti-henti dibenarkan berbuat demikian tetapi di tempat yang disediakan, manakala pemandu yang ditahan sepatutnya mempunyai penumpang lain, sama ada pekerja kilang, penumpang bas ekspress, persiaran atau bas sewa," katanya.

Menurutnya, menerusi Ops Serkap itu, lima bas kilang, masing-masing satu bas persiaran dan ekspress ditahan kerana mengambil tambang, manakala satu bas sewa ditahan kerana beroperasi di luar kelas lesen.

Katanya, selain itu pihaknya mengambil tindakan ke atas tiga bas kilang kerana ia ditinggalkan hingga mengganggu lalu lintas.

Sebanyak 11 saman dikeluarkan kepada semua pemilik bas dan pihaknya menyita empat bas kilang serta satu bas ekspres.

"Hasil siasatan, kami dapati mereka bukan saja mengambil penumpang di tepi jalan malah ada pemandu yang sengaja meletak bas di parkir sementara menunggu bas penuh untuk dibawa ke KIK Singapura.

"Pemandu mengaku mengenakan caj RM2 untuk memudahkan orang ramai dan penumpang pula mendakwa bas henti-henti terlalu lambat beroperasi menyebabkan mereka tiada pilihan.

"Bagaimanapun, kami terpaksa mengambil tindakan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin kerana semua penumpang itu tidak dilindungi insurans berikutan operasi bas itu melanggar syarat permit dan ia akan merugikan mereka di kemudian hari," katanya.

Menurutnya, semua pemilik bas dikenakan tindakan mengikut Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, jika sabit kesalahan boleh didenda hingga RM500,000 dan permit boleh digantung atau dibatalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 9:49 PM