BERNAMA

Kuantan: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggalakkan penumpang bas ekspres membuat laporan berkaitan kesalahan dilakukan pemandu bagi menjamin keselamatan penumpang.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata ada talian hotline SPAD di setiap bas ekspres yang berfungsi 24 jam setiap hari.

"Kita memang galakkan penumpang membuat laporan kepada SPAD mengenai kesalahan yang dikesan yang boleh membahayakan penumpang...sebab itu diletakkan nombor telefon (SPAD) dalam bas.

“Penumpang perlu membantu dengan memberi maklumat lengkap iaitu 4W dan 1 - when (bila), where (di mana), what (apa) who (siapa) dan how (bagaimana)," katanya selepas meninjau operasi khas

pemeriksaan bas ekspres sempena Krismas dan Tahun Baharu di Terminal Sentral Kuantan di sini, malam tadi.

Beliau berkata, jika benar aduan yang didakwa, SPAD boleh mengambil tindakan terus dengan menghubungi pengusaha bas ekspres berkenaan.

Beliau turut mengingatkan semua pemandu bas ekspres agar mengutamakan faktor keselamatan penumpang dan nyawa pengguna jalan raya lain.

Che Hasni juga memaklumkan SPAD telah mengambil keterangan pemandu bas ekspres yang menggunakan telefon bimbit dan merokok yang rakaman videonya tersebar di media sosial.

"Pegawai penguat kuasa juga mengambil keterangan pengarah syarikat pengendali bas itu dan keterangan pengadu. Kertas siasatan sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan seterusnya," katanya.

Che Hasni berkata SPAD juga akan membuat audit khas terhadap bas ekspres yang mempunyai banyak kesalahan namun enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 6:53 PM