Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah enggan mengulas pertemuan ADUN BN dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Alor Setar petang ini. - Foto Shahrul Hafiz Zam
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah enggan mengulas pertemuan ADUN BN dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Alor Setar petang ini. - Foto Shahrul Hafiz Zam
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: “Tunggu dulu, saya tidak tahu apa-apa keputusan lagi. Terima kasih," kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang ditanya media berkaitan pertemuan dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Beliau kelihatan keluar dari perkarangan Wisma Darul Aman di sini, kira-kira 5.47 petang tadi selepas pertemuan dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Ahmad Bashah yang kelihatan tenang bagaimanapun enggan mengulas lanjut sebelum beredar.

Sementara itu, Exco yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail yang keluar beberapa minit kemudian, juga enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan itu.

"Saya tak ada nak komen apa-apa dan saya nak balik ke Yan. Rumah saya di Yan.

"Saya tak pasti berapa ramai ADUN yang datang kerana saya tak 'check' dan saya tidak ada benda nak ulas," katanya.

Terdahulu Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Diraja Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah kelihatan meninggalkan Wisma Darul Aman kira-kira 5.25 petang.

Beberapa ADUN juga dilihat mula meninggalkan Wisma Darul Aman, dipercayai selepas selesai menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah sejak 4 petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 6:38 PM