KEMARAHAN boleh ditahan dengan tidak fikir perkara berkaitan dan berfikir positif terhadap hal lain.
KEMARAHAN boleh ditahan dengan tidak fikir perkara berkaitan dan berfikir positif terhadap hal lain.
Susunan Hajahfarhana Tarmudi


Marah ialah emosi semula jadi yang bersifat negatif. Marah boleh bermula daripada sedikit keresahan hingga menjadi ganas dan tidak terkawal.

Secara umumnya, perasaan marah boleh diterima masyarakat, tetapi bukan marah yang tidak terkawal. Apabila marah, paras degupan jantung dan tekanan darah meningkat, pernafasan menjadi cepat serta pendek.

Bukan itu saja, apabila kita sedang marah, otot akan menegang, paras hormon (adrenalin dan noradrenalin) meningkat hingga menyebabkan pergerakan badan bertenaga.

Perasaan marah akan tercetus apabila berlaku gangguan yang berpunca daripada seseorang, sesuatu peristiwa atau kebimbangan dalam hidup.

Kemarahan boleh berpunca daripada faktor luaran apabila seseorang atau suatu peristiwa yang menyebabkan diri berasa gelisah dan seterusnya berasa terancam.

Kemarahan boleh berpunca dari dalam diri sendiri apabila memikirkan atau teringat sesuatu peristiwa yang menyebabkan kita rasa marah. Marah akan tercetus apabila kita tidak dapat mengawal atau mengubah sesuatu perkara yang dibenci.

Benci mengakibatkan keresahan dan ini adalah perasaan marah yang sederhana. Tuntutan atau permintaan di luar batas kemampuan untuk melaksanakannya akan mencetus keadaan marah yang lebih teruk.

Perasaan marah akan menjadi lebih teruk jika mempunyai anggapan negatif dan tidak rasional.

Punca kemarahan:

- Dicederakan

- Ditipu

- Dipanggil dengan gelaran yang mengaibkan

- Terbiar tanpa diendahkan

- Tidak boleh mengawal

- Keadaan tertekan dan tuntutan di luar kemampuan

Perasaan marah ialah suatu emosi yang normal serta reaksi tindak balas semula jadi terhadap sebarang ancaman dan ketidakselesaan.

Ketika menghadapi ancaman, kemarahan berupaya menjadikan seseorang bertenaga untuk melawan atau mempertahankan diri.

Justeru, kita perlu mempunyai perasaan marah yang terkawal untuk kebaikan diri sendiri dan orang berdekatan. Walaupun marah adalah satu kelangsungan hidup, ia juga boleh membahayakan. Marah akan mendorong diri kita bertindak secara ganas dan mengikut kehendak hati.

Ia sekali gus akan mengakibatkan kecederaan berlaku kepada orang ramai, termasuk diri sendiri. Perasaan marah yang dipendam juga mengundang masalah terutama dalam perhubungan suami isteri, ibu bapa atau adik-beradik.

Seseorang yang tidak meluahkan perasaan marah secara terbuka akan menjadikan dirinya:

- Bersifat negatif

- Suka mengkritik

- Bersifat mengejek atau suka menyindir

- Bersifat ganas

Bukan hanya mampu mencederakan orang sekeliling, marah yang berpanjangan boleh menyumbang kepada darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit angin ahmar (strok).

Gangguan psikologi juga boleh berlaku akibat perasaan marah yang terlalu kerap dan teruk. Justeru, perasaan marah perlu dikawal bagi mengelakkan kesan buruk kepada diri sendiri dan orang lain selain kesihatan badan serta minda.

Tiga cara yang boleh dilakukan untuk meredakan kemarahan. Antaranya:

1. Meluahkan rasa kemarahan

Meluahkan perasaan marah dengan secara wajar (tegas, yakin dan terkawal) cara terbaik serta berkesan. Untuk melakukannya, kita perlu tahu cara betul untuk meluahkan perkara yang menyebabkan diri berasa tidak puas hati tanpa mencederakan orang lain.

Bertindak tegas bukan bermaksud menolak atau terlalu menuntut. Ia bermaksud menghormati diri sendiri dan orang lain.

2. Menahan marah daripada terus berpanjangan

Kita boleh menahan kemarahan dengan tidak memikirkan perkara berkaitan dan berfikir positif terhadap hal lain. Tujuannya untuk mengubah perasaan marah kepada sikap yang lebih membina. Bahaya yang timbul akibat menahan kemarahan apabila ia boleh menjejaskan diri sendiri.

Dalam hal ini kita mungĀ­kin boleh mendapat penyakit darah tinggi, gastrik, sakit badan atau kemurungan.

3. Menenangkan diri

Kita boleh mencuba pelbagai cara untuk menenangkan diri. Antaranya:

- Panjangkan serta perlahankan tarikan nafas.

- Perlahankan atau hentikan pergerakan supaya kadar degupan jantung dapat diturunkan.

- Kenal pasti pemikiran yang negatif dan tidak rasional.

- Kemudian, ubah kepada pemikiran positif dan membina.

- Fokus kepada pemikiran yang positif.

- Berjenaka untuk menghilangkan perasaan marah.

- Beralih daripada persekitaran dan sumber yang menyumbang kepada perasaan marah.

Sumber: Portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 5:28 AM