GOL Costa (dua dari kanan) ketika menentang Arsenal.
GOL Costa (dua dari kanan) ketika menentang Arsenal.

London: Penjaga gol Chelsea Thibaut Courtois menyokong rakan sepasukan Diego Costa untuk terus meledak selepas penyerang itu menjaringkan gol kemenangan ketika mengatasi Arsenal 1-0 pada aksi Liga Perdana, Ahad lalu.

Costa bergelut mendapatkan semula prestasi dipamerkan pada musim sulungnya, apabila dia menjaringkan 20 gol dalam 26 penampilan liga untuk mengemudi Chelsea menjuarai liga.

Pemain berusia 27 tahun itu dilihat menemui semula sentuhan jaringannya sejak Guus Hiddink menggantikan Jose Mourinho di Stamford Bridge, menjaringkan enam gol dalam enam perlawanan bagi semua pertandingan.

“Kami sedar apabila dia mula menjaringkan beberapa gol dia mampu menjaringkan lebih banyak lagi dan saya fikir dia memiliki keyakinan,” kata Courtois.

“Dia seorang penyerang terbilang dan dia akan menjaringkan banyak lagi gol buat kami, ini gol yang penting.”

Chelsea masih menghuni tangga ke-13 liga namun pemain tengah Nemanja Matic yakin mereka boleh mengekalkan prestasi semasa ketika tidak tewas lapan perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan.

“Inilah Chelsea yang sebenar dan saya percaya kami boleh buktikan lagi pada masa depan kami berhak bermain untuk kelab ini,” jelas Matic.

“Sudah tentu kami tidak berada di kedudukan bagus dalam carta tapi masih banyak perlawanan hingga hujung musim dan kami berpeluang memperagakan kualiti kami.”

Chelsea berdepan kelab divisyen dua Milton Keynes Dons pada pusingan keempat Piala FA, Ahad ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 10:34 AM