Prague: Penjaga gol paling lama berkhidmat, Petr Cech menyatakan dia akan meninggalkan Chelsea daripada menghabiskan satu musim lagi sebagai pelapis kepada Thibaut Courtois.

Pemain kebangsaan Republik Czech berusia 32 tahun itu kehilangan tempatnya kepada pemain muda Belgium itu musim ini, hanya bermula dalam kesebelasan utama dalam empat perlawanan pada Liga Perdana dan selebihnya digunakan bagi pertandingan piala domestik.

Sekalipun menerima keputusan pengurus Jose Mourinho, Cech berkata, situasi itu tidak boleh berterusan.

“Saya tidak tahu apa idea kelab. Ia kelihatan bagus dengan saya dan Thibaut sebagai dua penjaga gol,” katanya.

“Tapi ia hanya boleh bagi semusim saja. Saya tidak mahu satu lagi musim sebegini,” katanya ketika tugasan antarabangsa dengan Czech bertemu Latvia pada kelayakan Euro 2016 di Prague, awal pagi Ahad ini.

Cech menyertai Chelsea pada 2004 dan sudah memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana, empat Piala FA, Liga Juara-Juara dan tiga Piala Liga, terbaru musim ini apabila dia berada di pintu gol ketika mengalahkan Tottenham 2-0 di Wembley.

Ketika Mourinho jelas memilih Courtois, masa depan Cech pasti menarik minat beberapa kelab ternama Eropah.

“Memang banyak spekulasi, saya akan memikirkannya pada musim panas ini,” jelas Cech. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 9:06 AM