MUSTAPA  selepas membentangkan usul TPPA di Dewan Rakyat.
MUSTAPA selepas membentangkan usul TPPA di Dewan Rakyat.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri dan Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Pembabitan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) berupaya melonjakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor pembuatan agar lebih berdaya saing dalam menembusi pasaran global.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, negara memerlukan pelan tindakan yang mantap bagi memastikan PKS tempatan berada dalam pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, MITI dan agensinya seperti SME Corp akan terus melaksana dan memperkasakan program bina upaya serta peningkatan pencapaian piawaian antarabangsa.

“Antara lain, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan memainkan peranan lebih aktif dalam mencari pasaran bagi memastikan syarikat PKS kita mampu bersaing di luar negara.

“Kerajaan juga akan terus berusaha meningkatkan jumlah eksport negara terutamanya melalui inisiatif dirangka oleh Majlis Eksport Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” katanya ketika membentangkan usul TPPA di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam pelaburan luar asing (FTA) sedia ada, pasaran Malaysia sudah terbuka di mana duti import ke atas lebih daripada 90 peratus produk yang masuk ke negara ini telah dimansuhkan.

Selain itu, sebanyak 18 peratus daripada bilangan PKS tempatan telah membabitkan diri dalam dagangan eksport di mana 51 peratus PKS adalah dari sektor perkhidmatan dan 48 peratus dari sektor pembuatan.

Sebagai negara ekonomi terbuka, Malaysia mempunyai jumlah dagangan 1.5 kali ganda lebih besar daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta berada di tangga ke-23 negara pengeksport dan ke-25 negara pengimport tertinggi di dunia dengan jangkaan jumlah dagangan pada tahun ini berjumlah RM1.4 trilion.

Sementara itu, Mustapa berkata, dari aspek perolehan kerajaan, keutamaan kepada syarikat Bumiputera dan PKS masih dikekalkan selain pembekal PKS juga berpeluang menembusi pasaran perolehan kerajaan luar negeri.

Malah, dengan adanya TPPA, syarikat PKS tempatan dapat meneroka pasaran baru lebih luas dengan potensi dagangan yang strategik seperti Amerika Syarikat, Mexico, Kanada dan Peru.

Setakat ini, Malaysia berdagang dengan lebih 200 negara di seluruh dunia dengan 13 FTA yang telah ditandatangani dan yang terkini termasuk rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang membabitkan China.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 6:48 AM