Oleh Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Malaysia bakal meraih manfaat daripada ekonomi yang pelbagai hasil penyertaannya ke dalam Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan lebih menguntungkan lagi sekiranya menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) terutama yang membabitkan akses dalam pasaran dagangan.

Pada sembilan bulan pertama 2015, nilai dagangan yang dicatatkan antara Malaysia dan Amerika Syarikat berjumlah RM93 bilion berbanding RM86 bilion dalam tempoh sama tahun lalu. Manakala, nilai dagangan antara Amerika Syarikat dengan ASEAN merekodkan RM932.8 bilion tahun lalu.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata, penyertaan Malaysia di dalam AEC akan membuka peluang lebih besar untuk menembusi pasaran serantau dengan pengurangan halangan dagangan.

Beliau berkata, manakala jika Malaysia menyertai TPPA ia akan terus memacu kepada peningkatan eksport negara dan hubungan pelaburan yang positif antara kedua-dua negara.

“Dalam mengintegrasikan ASEAN, kita tidak seperti Eropah yang mempunyai mata wang dan satu bank pusat sama dalam dagangan, tetapi bagi rantau ini, ia akan mengurangkan halangan antaranya 90 peratus daripada duti dagangan import dikurangkan dan memberi manfaat kepada Malaysia.

“Selain itu, ASEAN mempunyai kekuatan dalam komoditi dan saya melihat kita tidak boleh terlalu bergantung kepadanya saja, sebaliknya memperluaskan dalam sektor lain seperti perkhidmatan bagi mempelbagaikan dagangan sama ada dalam ASEAN sendiri atau di luar rantau ini,” katanya selepas menghadiri perbincangan meja bulat tertutup antara Majlis Perniagaan AS-ASEAN dan Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia di sini, semalam.

Sementara itu, Chua berkata, pihaknya optimis kadar inflasi di Malaysia berada pada tahap empat peratus tahun depan berbanding antara tiga hingga empat peratus tahun ini berikutan kelemahan nilai ringgit dan kenaikan kadar rezab persekutuan Amerika Syarikat.

Katanya, kerajaan bersedia mengambil langkah bagi membangunkan kumpulan B40 dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sekiranya berlaku peningkatan kadar inflasi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 5:41 AM