Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengesahkan New Zealand menjadi lokasi yang dipilih untuk menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sekiranya Malaysia bersetuju menyertainya.

Bagaimanapun, tarikh tepat untuk menandatangani perjanjian itu masih belum diketahui buat masa ini dan terdapat kemungkinan pada 4 Februari depan, tetapi ia masih belum disahkan lagi.

Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, New Zealand dipilih sebagai lokasi menandatangani TPPA oleh semua negara yang bersedia menyertainya berikutan ia antara negara terawal atau berada dalam kategori P4 terdiri daripada Vietnam, Brunei, New Zealand dan Peru.

Beliau berkata, New Zealand juga dilihat sebagai satu penghormatan besar sebagai negara yang berperanan besar untuk menyertai perikatan perdagangan bebas berkenaan.

“Dari segi pemindaan dokumen tidak banyak untuk dilakukan, cuma membabitkan undang-undang buruh dan harta intelek manakala perkara lain hanya membabitkan peraturan kecil.

“Pemindaan dua perkara itu dikenal pasti oleh Majlis Peguam Negara dan kita perlu mengambil masa untuk menyelesaikannya di Parlimen. Sekiranya pindaan ini tidak dapat diselesaikan, ia menjadi cabaran untuk Malaysia menyertai TPPA,” katanya selepas merasmikan Hari Eksport 2016 di sini, semalam.

Hari Eksport 2016 dianjurkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) disertai 1,000 syarikat tempatan terutama pemain PKS yang memberi tumpuan meningkatkan kesedaran peniaga untuk mengeksport produk mereka ke pasaran asing.

Pada majlis perasmian itu, Mustapa turut melancarkan buku edisi khas, Eksport dan Perdagangan Antarabangsa sempena sambutan ulang tahun ke-20 EXIM Bank. Buku berkenaan diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin mengandungi pelbagai maklumat mengenai industri eksport negara yang disokong MATRADE.

Sementara itu, Mustapa berkata, pihaknya menyasarkan peningkatan sehingga 23 peratus penyertaan PKS dalam eksport menjelang 2020 berbanding 17 peratus ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 6:14 AM