MUSTAPA
MUSTAPA
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini mendapat peluang akses meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa menerusi Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dengan TPPA, akses pasaran ke negara anggota TPPA seperti Jepun menjadi lebih mudah.

Katanya, kerajaan komited membantu syarikat besar dan PKS Malaysia melalui segmen eksport.

“Ada PKS yang berasa sukar menembusi pasaran Jepun dan dengan TPPA, kami percaya akses untuk pasaran eksport ke peringkat global menjadi mudah.

“Pada 15 Mac depan, kumpulan pelabur dari Jepun akan ke negara ini bagi menggalakkan pelaburan Malaysia di Jepun dan kami akan mengumpulkan PKS untuk merebut peluang TPPA,” katanya di majlis pelancaran SME Bank XCESS 2016, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan SME Bank, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus.

Beliau berkata, SME Bank XCESS 2016 menawarkan usahawan PKS sesi perundingan bersemuka mengenai keperluan modal kerja mereka.

Menurutnya, pengukuhan dan pemupukan PKS penting jika mereka ingin memanfaatkan peluang dalam TPPA yang akan berkuat kuasa dua tahun lagi.

“Selain itu, Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang bertujuan mewujudkan pasaran dan pangkalan pengeluaran tunggal di rantau ini memberi peluang pasaran kepada PKS.

“TPPA akan meningkatkan peluang kepada pengeksport Malaysia di negara yang kita tiada perjanjian perdagangan bebas seperti Kanada, Mexico, Peru dan Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau berkata, keempat-empat negara berkenaan menyumbang 74 peratus daripada jumlah pasaran daripada 12 negara yang menandatangani TPPA dengan gabungan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS$21 trilion.

“Kami di kementerian bersedia membantu PKS meraih sepenuhnya faedah ditawarkan TPPA dan AEC,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 9:23 AM