MUSTAPA (tengah) menghadiri taklimat Komuniti Ekonomi Asean dan TPPA.
MUSTAPA (tengah) menghadiri taklimat Komuniti Ekonomi Asean dan TPPA.
Oleh Ardyhansah Amat


Kota Kinabalu: Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) hanya membabitkan keputusan di peringkat Pusat tanpa menjejaskan hak dan bidang kuasa kerajaan negeri di negara ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, antara bidang kuasa kerajaan negeri yang terjamin termasuk tanah dan hartanah, perolehan kerajaan di peringkat negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Secara asasnya dalam rundingan TPPA, setiap negara yang menyertai rundingan TPPA di Atlanta, Amerika Syarikat berhak menentukan dasar pasaran masing-masing sama ada pasaran terbuka, tertutup atau separa terbuka.

“Dalam hal ini, kita memilih pasaran terbuka yang tetap menjaga kepentingan agama, perlembagaan dan budaya,” katanya ketika menyampaikan ucapan Program Seranta Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Taklimat Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan TPPA, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian negeri Datuk Raymond Tan Shu Kiah, Menteri Belia dan Sukan negeri Datuk Tawfiq Titingan dan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian negeri, Datuk Bolkiah Ismail.

Menurut Mustapa, selain hak tanah dan perolehan kerajaan negeri, TPPA juga tidak akan menjejaskan badan berkanun kerajaan negeri dan anak syarikatnya.

“Setakat ini, rundingan di Atlanta sudah selesai pada 5 Oktober lalu dan MITI yang mewakili Malaysia akan membentangkan hasil rundingan itu di Parlimen dalam tempoh tiga bulan lagi.

“Keputusan akan dibuat oleh kerajaan menerusi Parlimen selepas meneliti dan membahaskan perkara itu sama ada akan menandatangani TPPA atau tidak.

“Dijangka keputusan itu akan dibuat selewat-lewatnya pertengahan Januari tahun depan,” katanya.

Setakat ini, Mustapa berkata, pihaknya akan melakukan siri jelajah ke setiap negeri bagi mengadakan sesi dialog bersama agensi berkaitan dalam usaha memberi penerangan secara terperinci mengenai TPPA.

“Secara amnya setiap dasar atau tindakan membabitkan perjanjian antara negara ada untung dan ruginya.

“Dalam hal ini adalah penting untuk kita menilai adakah suatu dasar itu lebih banyak mendatangkan keuntungan atau tidak.

“Malah, selepas menandatangani perjanjian itu kelak, kita mempunyai tempoh ratifiasi selama dua tahun untuk menilai semula sama ada meneruskan perjanjian TPPA atau tidak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 8:54 AM