MUSTAPA
MUSTAPA
myMetro

Kuala Lumpur: Kerajaan meletakkan jangkaan untuk mencapai peningkatan jumlah perdagangan keseluruhan antara Malaysia dan Jepun sehingga dua peratus pada tahun ini walaupun berdepan keadaan ekonomi tidak menentu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keadaan ekonomi pada tahun ini dilihat sedikit mencabar dan jumlah perdagangan antara dua negara ini tidak menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan.

“Kerajaan menjangkakan jumlah pertumbuhan perdagangan dengan Jepun antara satu hingga dua peratus saja pada tahun ini memandangkan ekonomi sedikit perlahan.

“Maka, kita perlu lebih kreatif untuk meningkatkan jumlah perdagangan dan menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan meneroka pasaran Jepun,” katanya selepas merasmikan Seminar Menjalankan Perniagaan di Jepun anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Japan External Trade Organization (Jetro) di sini, semalam.

Ia diadakan sempena ulang tahun hubungan diplomatik ke-59 antara Malaysia dan Jepun. Seminar berkenaan adalah satu inisiatif yang dijalankan bagi membantu syarikat tempatan bersedia menembusi pasaran Jepun khususnya sempena menjelangnya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menurutnya, Jepun juga terus kekal sebagai antara pelabur asing terbesar di Malaysia khususnya dari sektor pembuatan merangkumi produk elektrik dan elektronik, besi dan petroleum.

Pada 2015, Jepun adalah rakan dagang terbesar Malaysia selepas China, Singapura dan Amerika dengan jumlah dagangan sebanyak RM127.4 bilion.

Sementara itu, Mustapa berkata, negara kini tidak boleh lagi hanya bergantung kepada industri pelancongan sebagai sumber eksport negara memandangkan masih banyak sektor yang mampu menjanjikan pulangan lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 7:09 AM