Siti Nuraisyah (kanan) ditemani ibunya, Maimunah Md Razali 48 (kiri) di HTAR, Klang. FOTO Faiz Anuar
Siti Nuraisyah (kanan) ditemani ibunya, Maimunah Md Razali 48 (kiri) di HTAR, Klang. FOTO Faiz Anuar
Oleh Norashikin Leman


Klang: Siti Nuraisyah Sahrin, 13, yang putus kedua-dua kaki akibat digilis lori akan menjalani pembedahan kecil pada kaki kanan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang , esok.

Bapa tirinya Roslan Sardi, 40, berkata, doktor memaklumkan pembedahan akan dijalankan pagi esok selepas luka kecederaan pada kaki kanan Siti Nuraisyah kering sepenuhnya.

"Kami harap pembedahan akan berjalan lancar dan beliau akan segera pulih serta kembali ceria selain meneruskan persekolahan seperti biasa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jumaat lalu hanya kaki kiri Siti Nuraisyah yang dibedah kerana kaki kanannya masih tidak sesuai untuk dibedah, memandangkan luka kecederaan masih belum pulih sepenuhnya.

Pelajar tingkatan satu itu hilang kedua-dua kali selepas digilis sebuah lori dalam kemalangan di Parit 16, Sungai Panjang, 18 Januari lalu.

Dalam kejadian itu, motosikal ditunggang kakak tiri mangsa, Shamin Amirah Roslan, 14, bergesel dengan sebuah kereta dari arah sama yang cuba memintas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 9:13 PM